Kakitangan awam mungkin perlu menyumbang kepada dana persaraan mereka sendiri pada masa akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.
Dalam temubual dengan akhbar The Sun, Wan Kamaruzaman berkata, ia mungkin menyerupai kaedah pekerja swasta menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Apa yang anda perlu tahu, kerajaan mungkin memutuskan yang skim sedia ada ini adalah sukar untuk dikekalkan dan kita mungkin akan beralih kepada skim jenis KWSP," katanya.Skim pencen semasa untuk penjawat awam dipanggil 'Manfaat Pasti" di mana hanya kerajaan dan majikan lain penjawat awam yang membuat sumbangan, seperti badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Dengan skim ini, pesara diberi jamainan untuk mendapat bayaran pencen separuh dari gaji terakhir untuk seumur hidup setelah bersara pada usia 60 tahun. Pasangan pula akan mendapat jumlah yang sama sekiranya pesara berkenaan meninggal dunia.
Jelas Wan Kamaruzaman, skim yang serupa dengan KWSP itu dipanggil 'Sumbangan Pasti' mungkin membolehkan kerajaan mengurangkan bebanan bagi laibiliti pencen yang sentiasa bertambah. Skim semasa menyebabkan kerajaan diletakkan dengan liabiliti berjumlah sehingga RM300 bilion.
"Katakanlah di masa depan, lima tahun lagi penjawat awam lantikan baru akan diletakkan dalam skim 'Sumbangan Pasti', jadi KWAP akan mengendalikan kedua-dua skim 'Manfaat Pasti' dan 'Sumbangan Pasti', itu cara yang saya lihat. Kerana apa yang ada terlalu bagus untuk dikekalkan," katanya.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengakui bahawa, skim yang sedia ada sukar untuk dikekalkan bagi jangka panjang. Dengan itu, memberi isyarat satu skim alternatif mungkin sedang dirancang.
Dengan kekuatan perkhidmatan awam sehingga 1.6 juta penjawat awam bertukar kepada skim "Sumbangan Pasti' memerlukan azam politik yang tinggi.
KWAP mengendalikan keseluruhan operasi pencen kerajaan dan majikan lain penjawat awam, setelah menyerap keseluruhan jabatan pencen awam yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kesemua 250 orang pekerja jabatan itu kini ditempatkan di pejabat KWAP di Cyberjaya.
Semenjak November 2015, syarikat itu juga telah mengambil alih operasi pembayaran pencen bulanan kepada 700,000 pesara dari kerajaan. Ini setelah pengubahsuaian dibuat kepada Akta Dana Persaraan 2007, awal tahun 2015.
Bagaimanapun, dana untuk pembayaran itu masih datang dari kerajaan. Manakala KWAP dibayar yuran pentadbiran.
THESUNDAILY
0 Comments