Zairil Bermasalah Atau App Pintar Jais Bermasalah ?


Saya merujuk kepada laporan berita mengenai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang melancarkan aplikasi interaktif Amar – singkatan kepada “amar ma’ruf nahi munkar” – yang membolehkan orang berhubung secara langsung dengan JAIS melalui telefon pintar masing-masing.

Usaha JAIS menjadikan perkhidmatannya lebih proaktif dan interaktif adalah baik. Aplikasi sebegini akan memudahkan orang ramai mencapai maklumat seperti isu perundangan agama, berita semasa, program agama yang dijalankan, mencari masjid berhampiran dan lain-lain perkhidmatan.

Namun demikian, satu bahagian dalam aplikasi ini menimbulkan kegusaran iaitu bahagian perkhidmatan aduan yang membolehkan orang ramai untuk melaporkan aktiviti khalwat, ajaran sesat, ceramah agama yang tidak mempunyai permit dan sebagainya.

Menggalakkan tajassus?
Berkenaan isu melaporkan aktiviti khalwat, adalah dikhuatiri perbuatan ini akan menggalakkan perbuatan kemungkaran yang lain, iaitu tajassus (mengintip aib orang lain) yang turut dibenci oleh Allah dan RasulNya.

Hal ini sebagaimana dipertegaskan dalam ayat 12 Surah al-Hujurat, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan bangkai saudaranya? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi maha mengasihani.”

Lanjutan daripada itu, aplikasi ini juga menimbulkan masalah dari segi persaksian.
Sebagaimana yang dinyatakan dalam Garis Panduan Umum Operasi Tangkap Khalwat Negeri Perlis (2011), jika pemberi maklumat melakukan tajassus, maka dia fasik dan pemberitahuan orang fasik adalah ditolak.

Dalam erti kata lain, maklumat tidak boleh diperolehi daripada perbuatan tajassus. Sebaliknya, ia sepatutnya berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut, seperti nampak dari luar rumah, atau bunyi kuat yang meyakinkan maksiat sedangkan berlaku.

Bagaimana dengan kemungkaran yang lain?
Adalah benar menjadi tanggungjawab setiap umat Islam yang beriman untuk menganjurkan perilaku baik dan mencegah perbuatan yang salah (amar ma’ruf nahi munkar). Namun begitu, matlamat ini tidak boleh dicapai dengan kaedah menggalakkan orang untuk mengintip dosa peribadi orang lain – khususnya apabila ia tidak ada hubung kait secara langsung dengan kemaslahatan masyarakat.

Bagaimana pula dengan perbuatan mengumpat yang terang-terangan dinyatakan lebih besar dosanya daripada berzina?

Sabda Rasulullah: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).

Tambahan kepada itu, Rasulullah juga bersabda:
“Tidak akan masuk syurga Al-Nammam (kaki umpat)” (Riwayat Muslim).

Jika begitu besar kemungkarannya orang yang mengumpat, adakah aplikasi ini juga akan membolehkan orang untuk melaporkan makcik dan pakcik yang ralit mengumpat di kedai kopi?

Persoalan keutamaan
Hal ini membawa kepada persoalan yang lebih penting – keutamaan. Apakah menjadi keutamaan kita untuk menyiasat dosa peribadi seperti khalwat yang dilakukan secara berselindung berbanding dengan kemungkaran yang lebih besar?

Bukankah lebih baik sumber ditumpukan kepada soal yang lebih penting bagi masyarakat?
Umpamanya, masalah pembalakan haram di Kelantan yang tampaknya berlaku dengan berleluasa, ataupun pencemaran sungai yang mengakibatkan gangguan bekalan air di Selangor, malah kes keganasan domestik yang kerap memangsakan kaum wanita?

Bagaimana pula dengan gejala rasuah dan kleptokrasi (penyelewengan wang awam oleh pemerintah) yang kini menjadi sinonim dengan negara Malaysia?

Adakah dosa peribadi lebih memudaratkan berbanding akaun bank peribadi sesetengah pemimpin yang mengisinya dengan harta yang diseleweng? Adakah aplikasi ini turut merangkumi perbuatan kemungkaran besar sebegini?

Saya yakin Islam tidak menggalakkan obsesi mendedahkan dosa peribadi orang lain, melainkan jika kita melihatnya secara terang-terangan. Jika dilakukan secara diam-diam, ia sebenarnya menjadi dosa untuk kita mengintipnya.

Percanggahan sikap institusi agama
Akhir sekali, meskipun penggunaan teknologi bagi tujuan memantapkan perkhidmatan agama wajar dipuji, namun terdapat kemusykilan mengenai sikap yang diambil oleh segolongan ahli agama dalam hal ini.

Jika aplikasi yang serupa, yakni Pokemon Go, tidak digalakkan penggunaannya atas alasan keselamatan data yang mampu mengancam negara, mengapa pula aplikasi Amar ini boleh disokong apabila penggunaannya turut membenarkan aplikasi untuk mengakses maklumat yang sama seperti lokasi dan nombor telefon pengguna?

Apakah aplikasi Amar ini atas nama mencegah kemungkaran dapat menjamin keselamatan data pengguna daripada dimanipulasi oleh pihak ketiga?

Lebih penting lagi, apakah dengan mengintip perbuatan khalwat, ia dapat membantu masyarakat kita yang sedang berdepan dengan segala macam jenayah serta penyelewengan paling besar dalam sejarah negara ini?

* Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera

FMT

Post a Comment

2 Comments

  1. SUH DAP LA BUAT APPS UNTUK DETECT MENGUMPAT. RETI KOMEN JER!!

    ReplyDelete
  2. Not playing Pokemon Go? Download The Latest Version (Built for Android and iOS)

    ReplyDelete