Malaysia menghormati keputusan Singapura memperkenalkan Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) kepada semua kenderaan yang berdaftar di luar negara itu mulai 15 Februari depan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata Malaysia akan terus berbincang dengan Singapura berhubung keputusannya sebagai timbal balas terhadap Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap kereta yang memasuki Johor mulai 1 November 2016.
"Singapura memperkenalkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) pada 1973, kami tidak membalas dan kemudiannya, kami berpendapat kami perlu memperkenalkan caj jalan raya.
"...dan hari ini apabila Singapura mengumumkan mereka mahu mengikut jejak langkah Malaysia berhubung caj jalan raya, kami ingin mereka tahu bahawa kami sebenarnya berbeza namun kami hormati keputusan mereka,"Liow berkata VEP yang diperkenalkan oleh Malaysia hanya memerlukan pemilik kenderaan asing untuk membayar yuran pendaftaran sebanyak RM10 selama lima tahun.
Beliau berkata tiada diskriminasi ke atas kenderaan Singapura memandangkan caj yang sama juga akan dilaksanakan di sempadan Thailand, Brunei dan Indonesia.
Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) pada Isnin mengumumkan semua kereta yang berdaftar di luar negara perlu membayar RRC sebanyak S$6.40 setiap kali memasuki republik itu sama ada melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.
Menurut LTA, RRC itu akan dikutip bersama-sama VEP, bayaran tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sebelum meninggalkan Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.
Sementara itu, Liow berkata siasatan berhubung insiden MH17 akan dilanjutkan sehingga 2018.
"Kita akan menyertai sepenuhnya dalam pasukan siasatan bersama dan kita masih gigih dalam penyiasatan.
"Sebenarnya, kita sudah mendapat laporan awal dan kita akan teruskan siasatan mengenainya," katanya.
Mstar
0 Comments