Video | Green Day "Troubled Times" Mengejek Trump


Kumpulan rock punk, Green Day sekali lagi menyerang Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dilantik, Donald Trump menerusi satu videonya yang meraikan legasi Martin Luther King Jr, lengkap dengan amaran bahaya sedang menanti dunia.

Video klip untuk lagu “Troubled Times” itu dilancarkan pada hari cuti umum AS sempena ulang tahun pemimpin hak asasi manusia yang dibunuh itu. Video itu dimulakan dengan rakaman perarakan kesaksamaan yang bersejarah itu.
Video itu kemudian memasukkan rakaman bantahan terkini terhadap cadangan Trump mengharamkan umat Islam ke AS dan pembinaan tembok besar di sempadan Mexico.
Rakaman video itu diarahkan Manu Viqueira dari Sepanyol yang banyak bermain dengan warna hitam putih dengan sedikit merah. Video itu turut menampilkan Trump sedang menari – dengan berpakaian sut manakala mukanya diwakili kepulan asap sambil memakai topi dengan tulisan “Make America Great Again”. Video itu, diakhiri dengan awan berbentuk cendawan bom nuklear.

“Troubled Times” yang terdapat dalam album terbaru Green Day, berjudul “Revolution Radio” mencerminkan keadaan dunia pada masa ini dengan ayat pembukaan:
”Apa gunanya sayang dan keamanan di bumi ini jika ia eksklusif?”
Kumpulan berasal dari utara California yang membuka laluan kepada kebangkitan genre rock punk pada awal 1990-an itu, sangat lantang mengkritik Trump, yang dijangka akan mula bertugas di White House pada Jumaat ini.

Sejurus selepas pilihan raya presiden pada November, Green Day membuat persembahan di Anugerah Muzik Amerika dan turut melaungkan “No Trump! No KKK! No Fascist USA!” – hingga mengejutkan syarikat penyiaran berkenaan.

Hubungan Trump dengan dunia hiburan agak teruk, dengan kebanyakannya memboikot pelantikannya sebagai presiden.

Pada 2010, Trump menulis di Twitter yang dia melihat muzikal Broadway Green Day, “American Idiot” bersama isterinya, Melania dan mendapati ia “bagus sekali”.

FMT

Post a Comment

0 Comments