Sebat Mandatori - Rogol, Seks Luar Tabii, Berkelakuan Lucah & Menyimpan Menyunting Foto Atau Video Lucah


Dewan Rakyat malam tadi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 dengan mengenakan hukuman sebat mandatori terhadap pesalah jenayah seksual apabila akta itu diwartakan kelak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata di bawah pindaan akta itu :
Hukuman sebat mandatori dikenakan ke atas pesalah yang melakukan kesalahan rogol, sumbang mahram, persetubuhan seksual bertentangan dengan aturan tabii secara rela atau tanpa kerelaan, serta kesalahan merangsang kanak-kanak kepada perbuatan lucah melampau.
“RUU ini menunjukkan langkah serius kerajaan menangani salah laku melibatkan jenayah seksual yang semakin berleluasa dalam masyarakat hari ini,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu, yang kemudiannya diluluskan dengan undian majoriti pada 11.30 malam tadi.

Pindaan akta itu turut menetapkan hukuman penjara mandatori terhadap seseorang yang menyebabkan kecederaan kepada bekas suami atau isterinya, kanak-kanak, orang dewasa tidak berkeupayaan atau anggota keluarga lain dan tidak terhad kepada mereka yang masih dalam perkahwinan sah sahaja.

Razali berkata pindaan RUU itu turut memperluaskan peruntukan di bawah Seksyen 377 CA bagi kesalahan :
Memasukkan mana-mana bahagian badan selain zakar seperti jari atau lidah ke dalam faraj atau dubur mangsa, yang mana pesalah boleh didakwa.
“Perluasan dan penjelasan terhadap Seksyen 377 CA itu adalah sebagai usaha kerajaan mencegah jenayah seksual bukan sahaja yang melibatkan mangsa kanak-kanak, malah terhadap masyarakat umum,” katanya.
RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 juga memasukkan topik dokumen lucah bagi mengukuhkan larangan penjualan, pengedaran, pemilikan, penyewaan, penghasilan, pengiklanan, pembelian dokumen lucah dan lain-lain perbuatan.
Dokumen lucah tersebut antara lain meliputi fotografi atau rakaman visual lain dan perkara yang dirakam, disimpan, diproses atau dihasilkan semula atau dihasilkan oleh komputer.

FMT

Post a Comment

0 Comments