Amanah & Bersatu Atur Percaturan Rampas Kelantan PRU14


Parti Amanah Negara (AMANAH) akan memimpin jentera Pakatan Harapan dalam misi merampas Kelantan daripada PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) pula diberi tugas merobek kerusi-kerusi parlimen bagi menambahkan bilangan anggota Dewan Rakyat gabungan utama pembangkang itu.

Sebagai parti serpihan PAS, AMANAH dilihat mempunyai peluang terbaik untuk menarik pengundi PAS dan pengundi atas pagar walaupun penubuhannya masih baru.
Sumber-sumber dalaman HARAPAN Kelantan memberitahu Malaysiakini bahawa AMANAH, di bawah pimpinan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (gambar tengah) bakal bertanding di 32 daripada 45 kerusi DUN.
Tambahan lagi, menurut sumber, pemimpin kanannya Datuk Husam Musa pernah berada berada dalam kerajaan negeri ketika pentadbiran ikon PAS allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"AMANAH diberi kepercayaan untuk menggempur majoriti kerusi DUN khususnya kerusi kritikal dan potensi PAS untuk menarik pengaruh pengundi atas pagar serta ahli PAS yang dilihat mampu memecahkan undi calon PAS dan BN.

"Kerusi itu melibatkan kawasan yang dimenangi PAS sebelum ini dengan majoriti kecil atau PAS tewas dengan majoriti tipis," kata sumber yang namanya enggan direkodkan.


Pertembungan tiga penjuru

Antara kawasan kritikal dan berpotensi PAS tersebut seperti DUN Jelawat, Wakaf Bharu, Air Lanas, Selising dan Semerak, dengan harapan pertembungan tiga penjuru dengan BN akan berpihak kepada calon mereka.

Di DUN Jelawat contohnya dimenangi PAS pada pilihan raya lalu dengan majoriti 102 undi; Wakaf Bharu dengan 978 undi atau kawasan PAS tewas tipis seperti di Air Lanas yang dimenangi BN dengan majoriti 47 undi.

Sementara itu, PKR Kelantan pula dilihat akan diberi tanggungjawab bertanding di enam kerusi DUN, tambahan dua kerusi di samping empat yang ditandingi sebelum ini – Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil dan Nenggiri.

BERSATU dijangka bertanding di lima kerusi manakala DAP berharap diberi peluang bertapak di Kelantan di dua kerusi, iaitu Kota Lama dan Galas, selepas lama tidak bertanding di negeri itu.

Bagaimanapun, menurut sumber, peluang DAP untuk mendapatkan kerusi itu masih 50-50 setakat laporan ini ditulis.

Selain HARAPAN, PAS dan BN, Kota Lama turut bakal menyaksikan penyertaan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sudah menyatakan minat mereka.


BERSATU dapat parlimen luar bandar

Sementara itu, bagi kerusi parlimen pula peluang diberikan parti serpihan Umno, BERSATU.

Parti yang dipengerusikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu dikatakan bakal bertanding di lapan daripada 14 kerusi parlimen Kelantan.

AMANAH dan PKR pula akan dibekalkan dengan masing-masing tiga kerusi.

BERSATU Kelantan dijangka bertanding di parlimen luar bandar antaranya seperti Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh, Rantau Panjang, dan Tumpat.
"BERSATU akan jadi "pengacau" di parlimen luar bandar khususnya kubu kuat umno seperti Gua Musang dan Jeli.
"Ia juga diambil kira melalui aspek kesediaan calon dalam kalangan pimpinan BERSATU yang dilihat mampu untuk diangkat ke Dewan Rakyat, " tambah sumber tersebut.
AMANAH pula bakal bersaing di parlimen Kota Bharu, Kubang Kerian dan Bachok, manakala PKR mungkin menyahut cabaran di kawasan lama mereka, iaitu Ketereh, Machang dan Pengkalan Chepa.
PAS dijangka bertanding semua kerusi DUN dan parlimen memandangkan mereka tidak lagi mempunyai kerjasama dengan PKR.
Ini kemungkinan besar termasuk kerusi yang 'dipinjamkan' mereka kepada PKR dalam pilihan raya sebelum ini.

Pertembungan tiga penjuru dijangka mewarnai banyak tempat memandangkan BN juga akan bertanding kesemua kerusi di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Penguasaan kerusi DUN semasa antara parti di Kelantan membabitkan 31 kerusi milik PAS, manakala BN menguasi 13 kerusi dan AMANAH memiliki satu kerusi.

Bagi kerusi parlimen pula PAS menguasai sembilan kerusi dan BN bertapak di lima kerusi.

MK

Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Post a Comment