Sadis! IBU Dera Bayi 16 Bulan Sampai Meninggal Dunia (Mati Otak)


Bayi lelaki yang koma kerana pendarahan otak selepas didera ibunya menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata Kong Chaw Wan, 16 bulan, dan memegang pasport Indonesia meninggal dunia, pada 10.45 pagi, selepas dirawat sejak Rabu lalu.
“Bayi lelaki yang koma dirawat di ICU HPP kerana pendarahan otak, lebam di dahi, pipi kanan, bawah mata kiri, luka lama di bahagian dada, tangan dan kaki.
“Kami menerima panggilan daripada pegawai perubatan di ICU HPP pada 5.30 petang.

“Pegawai itu mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 10.45 pagi (mati otak).

“Denyutan jantung mangsa pula berhenti pada 5.05 petang. Laporan polis dibuat dan bedah siasat akan dilakukan.

“Berikutan itu, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 akan diklasifikasikan semula,” katanya.

Cerita sebelum terbongkar penderaan berlaku 

Kejadian dipercayai berlaku pada 4.30 petang, 22 November lalu, di rumah keluarga mangsa di Lahar Kepar, Kepala Batas.

Bayi tersebut pada mulanya dikatakan terjatuh sebelum dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB), pada 4.50 petang.

Bagaimanapun doktor HKB kemudian memberitahu polis mereka mengesyaki bayi itu menjadi mangsa dera, pada 9.20 malam.

Bayi tersebut dipercayai didera ibunya iaitu warga Indonesia berusia 26 tahun ketika suaminya tiada di rumah.

“Berdasarkan keterangan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sampai di HKB dalam keadaan mata tertutup, tiada percakapan, tiada pergerakan dan disyaki mengalami pendarahan otak.

“Selain itu, bayi itu ada kesan lebam di dada, kaki kiri dan bawah mata kiri serta tidak dapat dipastikan sama ada kecederaan mangsa itu disengajakan atau kemalangan.

“Keterangan doktor pakar kanak-kanak HKB pula menyatakan bayi itu parah di kepala dan mangsa disyaki mengalami pendarahan di otak akibat impak kuat daripada sesuatu objek tumpul di dahi dan di pipi kanan mangsa.

“Badan mangsa terdapat banyak kesan lebam berlainan warna dan doktor berpendapat kecederaan itu disengajakan, bukan akibat kemalangan.

“Berdasarkan keterangan ibu mangsa, wanita itu mendakwa kesan lebam di dahi anaknya itu akibat terhantuk dahi di lantai ruang tamu rumah ketika bermain,” kata Noorzainy.

Noorzainy berkata, jiran mangsa pula mendakwa kerap terdengar bunyi kanak-kanak dipukul ketika bapa mangsa keluar bekerja.

Menurutnya, jiran mangsa juga mendakwa wanita itu berpura-pura menyayangi bayinya ketika suaminya berada di rumah.
Beliau berkata, jiran mendakwa pernah melihat mangsa diletakkan dalam ‘baby walker’ dan sengaja dibiarkan di luar rumah ketika hujan.
Menurutnya, ibu mangsa sudah ditangkap sebelum direman 14 hari bermula 23 November lalu.

Katanya, siasatan mendapati visa wanita berkenaan sudah tamat tempoh pada 24 Mac 2017.

Menurutnya, bapa mangsa adalah warga tempatan yang bekerja sebagai buruh dan mereka berkahwin di Indonesia.

Sumber : HM

Post a Comment

0 Comments