Ahli Parlimen Miri Nafi Berita Palsu "Status Agama Mykad"


Catatan laman sosial Facebook yang mendakwa Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng akan membawa usul agar status agama dalam MyKad dihapuskan pada persidangan Parlimen adalah tidak benar.

Setiausaha Politik beliau yang juga Naib Ketua Wanita Kebangsaan PKR Voon Shiak Ni berkata Pakatan Harapan tidak pernah berhasrat berbuat demikian dan menyifatkan paparan yang dipetik oleh sebuah tabloid berpangkalan di Semenanjung baru-baru ini sebagai berita palsu.
“Kami tidak pernah berhasrat mengubah status agama pada MyKad dan dokumen undang-undang lain. Ini adalah negara berbilang kaum, pelbagai agama dan kami menganjurkan sikap saling menghormati terhadap amalan beragama seluruh rakyat Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sehubungan itu beliau merayu agar netizen berhenti menularkan catatan tersebut kerana ia tidak berasas serta bukan berasal daripada laman Facebook rasmi Dr Teo.

Orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini daripada Facebook rasmi Dr Teo menerusi PKR Parlimen Miri P.219, katanya.

Sementara itu, Dr Teo yang turut hadir berkata tugas segera beliau ialah menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur kesihatan di daerah ini selepas melawat Miri Polyclinic hari ini.

Katanya ada 3 isu segera yang perlu diselesaikan di poliklinik tersebut iaitu tempat letak kereta, agihan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang tidak mencukupi.
“Saya akan majukan kepada Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya.
Menurut Dr Teo masalah tempat letak kereta di poliklinik itu berterusan sejak lebih 20 tahun lalu manakala bekalan ubat-ubatan untuk pesakit pula dikurangkan daripada 3 bulan kepada sebulan oleh kerajaan sebelum ini yang memburukkan lagi masalah kesesakan di poliklinik tersebut memandangkan pesakit perlu datang setiap bulan untuk mengambil bekalan ubat mereka.

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments