36 Hari Kira Harta Rampasan Najib ! Termasuk Hari Raya!


Polis mengambil masa 36 hari untuk mengira dan menilai barang rampasan di kediaman dan premis berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, pemeriksaan dan pengiraan pada 21 Mei lalu sehingga 25 Jun termasuk semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, pengiraan dan pemeriksaan mengambil masa lama kerana jumlah barangan yang dirampas adalah banyak dan memerlukan pengesahan pakar.

"Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, sebentar tadi.

Pada sidang akhbar itu, Amar Singh mendedahkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan Najib adalah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Pada 16 dan 17 Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan beberapa serbuan berkaitan 1MDB di dua premis di Putrajaya, empat di Kuala Lumpur dan tiga di Pavilion Residences serta di kediaman Datuk Seri Najib di Langgak Duta, Taman Duta.

Semua rampasan berkenaan adalah berkaitan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Sumber : BH

Post a Comment

0 Comments