Hint Zuraida, Azmin Ali Mungkin Cabar Anwar Ibrahim Untuk Jawatan Presiden PKR ?


Wanita PKR menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti, namun mengingatkan agar parti bersedia "menjulang prinsip demokrasi" sekiranya jawatan tertinggi parti itu dicabar.

Jelas ketuanya, Zuraida Kamaruddin, PKR perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama 20 tahun dan ia perlu bermula dari kalangan pemimpin parti itu sendiri.

Peranan beliau (Anwar) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku pencetus agenda perubahan hampir 20 tahun lalu tentulah tidak dapat disangkal mana-mana pihak.
Pasca pilihan raya umum ke-14 menyaksikan PKR telah pun menjadi parti terbesar dalam kerajaan, ia juga membawa bersama perubahan dalam struktur kepimpinan parti serta dinamika yang berbeza dari sebelumnya.
Dalam pada tawaran Anwar diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia, katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar pada 15 Julai lalu mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti itu Ogos ini.

Keputusan itu, kata Anwar, diambil selepas berbincang dengan isterinya, Dr Wan Azizah yang juga merupakan penyandang jawatan presiden.

Terdahulu Dr Wan Azizah menyatakan sedia berundur untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding jawatan itu.


Azmin mampu galas tanggungjawab

Sementara itu, dalam kenyataan sama Zuraida turut menyorot "kecemerlangan" pentadbiran Selangor dan kepimpinan bekas menteri besarnya yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kata Zuraida, PKR mempunyai ramai pemimpin berkelayakan yang teruji kesetiaannya, berkarisma dan mempunyai rekod cemerlang pentadbiran.

Tidak boleh disangkal lagi bahawa tatakelola dan kecemerlangan kerajaan Selangor menjadi antara penyumbang signifikan kepada keyakinan rakyat dalam melihat model pemerintahan Malaysia baru.
Keyakinan inilah yang menyebabkan BN yang berusi 61 tahun mampu ditumbangkan.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara watak pimpinan yang dinamik dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan.
Telah dibuktikan dalam pentabdiran kerajaan Selangor terdahulu, peranan terkini beliau yang memegang portfolio kanan kerajaan selaku menteri hal ehwal ekonomi membuktikan lagi sumbangan beliau bakal memberi impak positif dalam bersama-sama mengemudi bahtera PKR yang kita cintai, katanya

Zuraida yang merupakan anggota parlimen Ampang turut mengingatkan bahawa PKR "berbeza" dengan Umno yang sering menyaksikan jawatan tertinggi parti mereka tidak ditandingi.

Justeru, Wanita PKR menegaskan bahawa di samping menerima baik tawaran Anwar bertanding jawatan presiden, parti juga perlu menghormati perlembagaan parti dalam hal membuka ruang pertandingan mana-mana jawatan tanpa sebarang usaha sekatan.
We must walk the talk, kita perlu lakukan apa yang kita laungkan, katanya.

Sumber : MK

Post a Comment

0 Comments