Isu Sebenar Saman Firma Berlian Terhadap Rosmah Mansur


Peguam Global Royalty Trading SAL, David Gurupatham menolak dakwaan bahawa saman RM60 juta oleh firma pemborong barangan kemas Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor adalah konspirasi untuk membantu isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Global Royalty memfailkan saman berkenaan pada 26 Jun bagi menuntut pemulangan kembali barangan kemas berkenaan.

Firma itu memohon perintah mandatori bagi 44 barangan kemas berjumlah AS$14.79 juta (RM59.831 juta) berkenaan, antara yang dirampas oleh polis berhubung siasatan 1MDB, dikembalikan.

"Ini bukan konspirasi kerana pihak berkuasa merampas 12,000 unit barangan kemas. Yang menjadi persoalan hanya 44 unit ini yang tidak ada kaitan dengan siasatan keseluruhan," kata Gurupatham kepada akhbar The Star.

Menurut peguam berkenaan, jika Jabatan Kastam merampas 44 unit barangan kemas tersebut, Rosmah perlu membayar RM60 juta.

"Bagi kami (Global Royalty) seseorang perlu membayarnya. Kami perlu menuntut wang itu dari Rosmah," katanya.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam, sebelum ini berkata, barangan berkenaan tertakluk untuk rampasan selanjutnya jika penghantaran tersebut tidak diisytiharkan.

Sumber : MK

Post a Comment

0 Comments