Tidak sedikit cakap-cakap yang timbul selepas pengumuman nama Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selaku calon Parti KeADILan Rakyat (KEADILAN) bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, semalam.

Bukan calang-calang orang, Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Selangor ini hakikatnya merupakan Pengetua Maahad Tahfiz al-Fateh, Jalan Kebun. Pastinya, figura paling cocok meneruskan legasi kecemerlangan allahyarham Mat Shuhaimi Shafie, berasaskan kepada rekod pencapaian beliau selaku aktivis masyarakat yang tulen.

Baru berusia 48 tahun, suami kepada Ustazah Hazlina Abd Razak dan bapa kepada 5 orang ini sangat dikenali oleh penduduk sekitar Sungai Kandis, memandangkan beliau sendiri merupakan anak jati Sungai Kandis.

Beliau dan isteri sangat disegani oleh para penduduk kerana berlatarbelakangkan pegangan agama yang kuat dan banyak membantu orang ramai.

Beliau dan isterinya mengasas serta menggerakkan Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Darul Wardah, Seksyen 30, Shah Alam.

Tidak terkenal di tempat lain tidaklah terkesan sangat, asalkan di tempat mengundi beliau sangat dikenali, kerana dialah yang akan memberi khidmat kepada kawasan ini. Inilah individu yang di terima rata-rata masyarakat setempat, tidak kira parti lawan atau parti kawan.

Malahan, Jalan Mughni di Jalan Kebun diambil sempena nama Allahyarham bapanya, Tuan Haji Mughni Haji Abd Rahman - seorang imam dan penolong pendaftar nikah yang dihormati di Kampung Jalan Kebun.

Ibunya, Allahyarhamah Hajjah Pauziah Haji Husin berasal dari Kampung Sijangkang, Kuala Langat, juga anak kedua kepada Haji Husin Abas, pengasas Pondok Haji Husin Abbasiyyah, Sijangkang atau lebih dikenali sebagai Pondok Kiyai Kusen Sijangkang.

Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Mesir dan Master Pendidikan di Universiti Malaya (UM) ini lahir dari lubuk kesengsaraan dan kepayahan rakyat. Ustaz Zawawi pernah berkhidmat selaku Ahli Mesyuarat Badan Dakwah, Majlis Agama Islam Selangor (2006 – 2012) dan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Keluarga Islam, MAIS (2009 – 2012).

Beliau pernah bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah dan institusi seperti Kolej Hafiz Klang, SAM Hishamuddin Sungai Bertih.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di beberapa IPT seperti Kolej Pusrawi dan Universiti Malaya disamping berceramah motivasi, kepimpinan, kuliah agama dipelbagai institusi seperti sekolah, masjid, jabatan, kolej dan sebagainya.


Aktivis sosial

Tidak hanya punya ketokohan dalam bidang agama, tetapi juga merupakan aktivis sosial yang tegar. Mantan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor ini juga pernah diamanahkan selaku Timbalan Majlis Perundingan Kebangsaan ABIM (MPKA) dan Setiausaha Integrated Muslim Association Nework (IMAN).

Dalam usaha membangunkan generasi muda, beliau juga aktif menggerakkan aktiviti belia sehingga diberikan kepercayaan untuk menjadi Setiausaha Agung Majlis Belia Selangor (2006 – 2007) dan Ahli Majlis Perundingan Belia Negeri Selangor (2006 – 2007).

Beliau terlibat dalam Skuad Prihatin ABIM dan Global Peace Mission (GPM) yang melaksanakan misi bantuan bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya. Melalui GPM beliau terlibat dalam usaha membantu rakyat Palestin dengan menganjurkan kempen kutipan dana dan kempen kesedaran di surau dan masjid kompleks beli belah dan lokasi-lokasi strategik.

Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Firma Perunding Latihan BUDI Training & Management, di mana beliau terlibat memberikan motivasi, termasuk program-program kepimpinan yang dihadiri oleh para wakil rakyat.

Terkenal dengan sifat mesra serta merendah diri, Ustaz Zawawi mempunyai pengalaman luas dalam menangani isu gejala sosial di Selangor sejak tahun 20 tahun lalu dalam bidang pendidikan, badan pelajar, badan dakwah dan badan belia.

Di dalam parti, beliau aktif selaku Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat serta Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat. Fakta yang lebih menarik, beliau juga merupakan sahabat dan pembantu kepada Allahyarham YB Mat Shuhaimi Shafiei.

Pemilihan beliau adalah penting memandangkan kita memerlukan agamawan serta pemimpin yang celik soal keragaman dan kerencaman bangsa dan agama seperti di Malaysia, terutama di Selangor.

Pilihan raya, baik umum mahupun kecil – tidak hanya berlegar sama ada seseorang calon itu popular pada peringkat nasional atau pun tidak. Jauh lebih daripada itu, seseorang calon itu sewajarnya dikenali oleh penduduk setempat, selain mempunyai kemampuan juga kesungguhan untuk berkhidmat kepada rakyat yang diwakilinya.

Ustaz Zawawi mempunyai ciri-ciri seorang wakil rakyat yang komited serta berwibawa itu. Bila disebut nama Ustaz Zawawi, dialah imam, dialah jurunikah, dialah kaunselor dan pakar motivasi, dialah penceramah tersohor di kawasan tersebut.

Pemilihannya sebagai calon, pastinya adalah tepat sekali. Akhir kalam, pangkah KEADILAN untuk PRK DUN N.49, Sungai Kandis.

Sumber : MK