Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata tindakannya tidak keluar daripada dewan rakyat bersama dengan pemimpin BN dan PAS kerana beliau menghormati majlis.

Katanya, meskipun ada pertikaian berkenan pelantikan speaker namun katanya keluar Dewan bukan cara kita menyatakan bantahan.

Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.
Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui 'standing order' pada hari Rabu.

Khairy berkata demikian kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.


Hormat majlis angkat sumpah

Bekas ketua pemuda Umno itu turut berpendapat lebih baik anggota parlimen menghormati majlis mengangkat sumpah.

"Dan kita tak buat apa tindakan yang mencemarkan imej BN sebagai pembangkang yang berwibawa dan ini saya bercakap bagi diri saya," katanya.

Pagi tadi hanya beberapa minit selepas anggota parlimen duduk di kerusi masing-masing untuk memulakan sidang parlimen, anggota parlimen Umno dan PAS melangkah keluar dewan sebagai tanda bantahan.

Tindakan anggota parlimen pembangkang yang keluar dewan itu dipercayai berhubung cadangan pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker.

Pelantikan itu dipertikaikan sebagai tidak mengikut peraturan dewan mesyuarat yang seharusnya mengikut peruntukan 4 (1) berkaitan 14 hari pemakluman kepada anggota Dewan Rakyat.

Ketegangan bermula apabila Setiausaha Dewan Rakyat,Datuk Roosme Hamzah bangun mengumumkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, tiba-tiba ahli Parlimen BN dan PAS membantah menyatakan lantikan itu tidak sah.

Difahamkan, selain Khairy, Datuk Seri Anifah Aman (Umno-Kimanis) turut tidak meninggalkan dewan.

Sumber : MK