Demi impian untuk membangunkan negara, penyanyi Krisdayanti mengaku menerima lamaran Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) untuk menjadi calon mereka pada pilihan raya umum tahun depan.

Krisdayanti menjelaskan, lamaran itu diterima kerana dia berasa terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia.

Ya (dilamar PDIP), tapi yang ingin saya tegaskan ialah ini suatu amanah dan kepercayaan yang diberukan. Kerana kepercayaan itu, mungkin ramai lagi artis lain turut dilamar. Cuma, perkara itu tidak akan terjadi kalau kita tidak mempunyai persamaan untuk membangunkan negara mulai sekarang,” katanya dipetik Tribunne News.

Krisdayanti atau mesra disapa KD, memang susuk yang tidak asing di Indonesia dan dia sering dirujuk sebagai diva seni tarik suara di negara itu.

Prestasinya sebagai seorang penyanyi memang tidak diragui, bahkan banyak lagu yang didendangkannya menjadi popular.

Antaranya, Menghitung Hari, Cobalah Untuk Setia dan Pilihlah Aku.

Mengenai alasan terjun ke bidang politik, Krisdayanti menjelaskan sekarang ialah waktu yang sesuai untuknya mengubah perjalanan hidup dengan mula memikirkan Indonesia.

Kenapa saya tidak terima lima tahun lagi? Kenapa bukan lima tahun akan datang? Sebabnya, sekarang waktu yang tepat dan mendapat sokongan daripada suami walaupun dia orang luar (bukan rakyat Indonesia). Tapi kami berdua memang meminati Parti PDIP dari dulu.
Justeru, saya buat ini bukan hanya kerana peluang dan kesempatan tetapi bagaimana memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.

Wanita yang turut akrab disapa Yanti itu mengungkapkan bahawa dia dilamar PDIP untuk mewakili Daerah Jawa Timur V (Kota Batu, Malang).

Bertanding di kawasan itu bagi Krisdayanti, 43, sama seperti pulang ke kampung halaman. Katanya secara berkias, dia sudah tahu selok belok tempat kelahirannya itu.

Dengan keupayaan yang ada, mungkin nanti saya akan berusaha semaksimum mungkin di daerah yang diwakili. Rasanya seperti pulang ke kampung.
Dengan pencalonan ini, kami sudah bersedia,” katanya.

Bekas isteri Anang Hermansyah itu juga mengaku mahu mengikut jejak langkah datuknya yang pernah berkecimpung dalam dunia politik.

Ya saya bersyukur sekali kerana kepercayaan daripada pemimpin PDIP, Megawati Soekarnoputri. Kalau mengikut sejarah, datuk saya pernah berkhidmat di Malang, Jawa Timur, katanya.

Sumber : MK