Isteri Simpan RM5, Kerajaan Tambah RM40

Program Sukarela Insentif (SURI) yang membolehkan suri rumah menikmati sekuriti sosial berkualiti dan meningkatkan sekuriti pendapatan akan dilaksanakan dalam 3 fasa, kata timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, fasa satu akan bermula minggu depan pada 15 Ogos, di mana anggota SURI boleh menyimpan minimum RM5 sebulan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing dan kerajaan pula akan menyumbang RM40 sebulan.

“Buat permulaan, kumpulan sasaran bagi fasa satu terdiri daripada suri rumah kepada ketua isi rumah. Sasaran ketua isi rumah ialah lelaki berkahwin, ibu tunggal dan janda yang berdaftar dengan e-Kasih.

“Kerajaan berhasrat memastikan kebajikan orang ramai. Bagaimanapun, setiap rakyat perlu menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan taraf hidup.

“Sumbangan minimum RM5 setiap bulan di bawah program ini mewakilkan komitmen daripada orang ramai dan pada masa sama menyemai sifat suka menabung untuk masa depan mereka,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa KWSP 2018, hari ini.

Wan Azizah berkata, sumbangan kerajaan itu akan dinaikkan kepada RM50 pada fasa ke-2 insentif itu, di mana sejumlah RM10 akan diagihkan untuk perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso).

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments