KJ Waspada Khazanah Kembali "Kapitalisme Kroni 1990-an"


Khazanah Nasional Berhad mempunyai sejarah kejayaan tetapi pemimpin kerajaan memilih untuk menonjolkan beberapa kerugiannya, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini.

Khairy tidak berpuas hati dengan layanan terhadap pengarah urusan syarikat itu, Tan Sri Azman Mokhtar.

Pemimpin Umno itu dalam satu kenyataan berkata gambar tular rakan-rakan yang mengucapkan selamat jalan kepadanya menunjukkan beliau seorang pemimpin yang dihormati dan dihargai.

Khairy kecewa apabila mengetahui “selama lebih daripada 2 bulan, pengarah urusan syarikat kerajaan tidak diberi peluang untuk bertemu dan memberi taklimat kepada perdana menteri”.

Keadaan itu menyebabkan lembaga pengarah Khazanah tidak boleh mengadakan mesyuarat, katanya.

Mesejnya mudah: Kami mahu kamu keluar tetapi kami tidak akan mengotorkan tangan kerana tidak ada alasan untuk memecat kamu. Lembaga pengarah Khazanah memahami mesej itu. Sebagai individu-individu yang bertanggungjawab, mereka menawarkan peletakan jawatan.
Satu lembaga pengarah baru dilantik dan diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri. Perkembangan itu pelik sekali. Khazanah hampir sepenuhnya milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Sebarang pelantikan mesti ditandatangani dan diumumkan menteri kewangan, bukan perdana menteri. Tetapi bukan itu yang berlaku, walaupun kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk tidak menumpukan kuasa di tangan pejabat itu.

Beliau berkata strategi perhubungan awam kerajaan nampaknya tertumpu kepada beberapa kerugian yang dialami sepanjang tempoh perkhidmatan Azman, daripada pelaburan di UBS kepada sebuah syarikat menjual pakaian dalam wanita.

Tujuannya untuk mengaibkan dan menangkis angka-angka sebenar yang kita perlu perhatikan: nilai aset Khazanah yang boleh direalisasi tumbuh daripada RM65 bilion pada 2004 kepada RM157 bilion pada penghujung 2017. Nilai bersih yang terlaras ialah RM47 bilion pada 2004.
Pada penghujung tahun lepas ia RM115.6 bilion. Itulah peninggalan Azman. Bukan kerugian-kerugian lebih kecil yang ditonjolkan untuk mencemar nama baik dan sepanjang masa dia berkhidmat di situ.”

Khairy berkata satu lagi peninggalan Azman ialah persiapan beliau dan dia sudah mempersiapkan 2 orang timbalan untuk mengambil alih tempatnya apabila kontrak tamat pada Mei.

“Saya berharap 2 timbalan pengarah urusan itu antara meraka yang dipertimbangkan untuk mengambil alih tempatnya bagi memastikan kesinambungan dalam melaksanakan mandat Khazanah sebagai dana mahsul negara.”

Khairy berkata “pembangkang akan memerhati dengan teliti langkah-langkah kerajaan seterusnya” kerana waspada terhadap sebarang usaha untuk menggantikan Khazanah dengan “kapitalisme kroni 1990-an”.

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments