Sepanjang dua minggu tempoh kempen PRU ke-14, nama Nik Omar Nik Abdul Aziz menjadi antara yang paling disebut.

Bermula dengan kemunculan dramatiknya di hari penamaan calon di DUN Chempaka, dibawa pusing satu Malaysia untuk berkempen sehinggalah antiklimaks iaitu kekalahannya pada malam 9 Mei.

Sejak itu beliau dilihat agak tenggelam dalam arus politik nasional. Tiada lantikan buatnya dalam mana-mana jawatan dalam kerajaan di saat nama-nama lain mula mengisi kekosongan kedudukan.

Pastinya ramai yang tertanya ke mana langkahnya pada masa ini - masih berada di pentas atau sudah terpinggir di tepi?

Malaysiakini baru-baru ini sekali lagi berkesempatan bertemu dengan anak sulung bekas Mursyidul Am PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ternyata pengetua Maahad Darul Anuar ini masih memberi sentuhannya dalam membantu kerajaan baru. Berikut adalah wawancara Malaysiakini bersama ustaz Nik Omar.

Malaysiakini: Selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya menumbangkan BN, ustaz dilihat agak terkeluar daripada radar politik negara. Boleh kongsikan perkembangan terbaru?

Nik Omar: Secara asasnya saya kini memberi tumpuan khusus kepada beberapa perkara antaranya memastikan pendidikan di Maahad Darul Anuar berjalan dengan lebik baik. Nak pastikan ada dana dan mampu memenuhi hasrat ayahanda tok guru untuk menjadikan Maahad Darul Anuar sebagai institusi pendidikan yang boleh beri perkhidmatan yang terbaik.

Sekarang ini juga menjadi rutin mingguan saya untuk menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Surau RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) di Tunjong, Kota Bharu.

Malaysiakini: Buat masa ini adakah ustaz ada terlibat sedikit sebanyak dalam pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan?

Nik Omar: Saya terlibat secara tidak langsung untuk membantu terutamanya Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa. Ia dibuat menerusi perbincangan tidak rasmi bersama kawan-kawan yang lain.

Antara soal yang menjadi fokus adalah bagaimana kita nak menggerakkan agenda kementerian melibatkan urusan agama Islam, untuk memastikan gerakan Islam itu dalam kerangka 'rahmatan lil alamin'.

Dalam bentuk pemikiran Islam melalui maqasid syariah, antara tujuan utama Allah turunkan Islam dan melalui bentuk apa yang kita mahu terjemahkan dalam kehidupan rakyat di negara kita. Itu asasnya.

Malaysiakini: Apa pandangan ustaz dengan perjalanan pentadbiran Malaysia selepas lebih dua bulan HARAPAN mentadbir negara?

Nik Omar: Secara peribadi saya tengok ia sudah berada di landasannya, tabiat kita sebagai manusia untuk tidak puas hati dalam mana-mana isu. Jika ada kekurangan, ia tidak semestinya bererti kelemahan sesebuah kerajaan.

Tetapi kerana kita nak yang terbaik, secara umumnya kita boleh sebut berpuas hati. Tetapi secara rinci saya fikir perlu ditingkatkan lagi, khususnya di semua kementerian supaya janji-janji yang kita buat sama ada 100 hari atau janji umum dalam manifesto tetap diusahakan agar ia tertunai.

Semua itu perlu dikembalikan dengan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Supaya rakyat merasai nikmat berada dalam kerajaan baru, itu yang kita nak.

Malaysiakini: Apa isu yang ustaz rasa paling terkesan khususnya selepas peralihan kuasa daripada BN kepada HARAPAN?

Nik Omar: Antaranya berkait dengan cukai, langkah kerajaan menghapuskan GST untuk memperkenalkan SST. Jika dengan GST kutipan kerajaan dikatakan mencecah RM40 bilion setahun, dengan SST ia hanya RM20 bilion. Ia jelas menunjukkan kelebihan SST (kerana tidak mencukai rakyat terlalu banyak).

Untuk memastikan kerajaan tidak mengambil cukai itu agak sukar. Tiada kerajaan di dunia tanpa cukai, yang kita mahu cukai yang tidak membebankan rakyat.

Secara mudah kalau nak bandingkan tentulah SST lebih memberi kebaikan. Perbandingan mudahnya adalah jumlah RM40 bilion dan RM20 bilion yang kerajaan ambil daripada rakyat.