Nama ahli politik dari Kelantan ini bukanlah lazim seperti tokoh sedia ada. Namun Mohd Radzi diberi tugas yang besar, iaitu menjadi timbalan menteri hal ehwal ekonomi, iaitu sebuah kementerian yang baru diwujudkan.

Dalam temu bual di parlimen baru-baru ini, Mohd Radzi mengakui dia tidak dikenali ramai berbanding tokoh HARAPAN dari Kelantan.

Bahkan beliau langsung tidak berpengalaman dalam politik kerana terlalu asyik dengan dunianya sendiri kerana menetap lebih 20 tahun di Hobart, Australia.

Nikmat yang diperolehi daripada ketenangan serta pemandangan gunung-ganang di Hobart membuat Mohd Radzi kurang memikirkan hasrat kembali ke Malaysia.

Namun, ada satu perkara yang mencetuskan gejolak di hatinya dan tiba-tiba terpanggil untuk pulang ke tanah air, iaitu apabila beliau mendalami isu 1MDB.

Pada asalnya, Mohd Radzi, 41, hanya mahu membantu Umno menyelesaikan isu tersebut.

Isu 1MDB yang buat saya masuk politik, sebab perkara itu bidang saya, dan saya buat banyak penyelidikan, baca beribu-ribu muka surat untuk memahaminya.
Apabila timbul isu 1MDB, tidak ramai anggota Umno yang bercakap dan mempertahankannya.
Sebagai orang yang tahu sedikit sebanyak bidang akaun dan audit, saya kata kepada diri sendiri: saya kena belajar isu ini supaya saya dapat pertahankan Umno.


Namun beliau tidak menyangka perkara yang sebaliknya berlaku apabila banyak "kemungkaran" yang muncul. Dan ia berlaku tanpa dirancang

Lebih banyak kita baca, lebih banyak kita nampak kemungkaran yang berlaku. Ianya mengambil masa yang lama dan isu 1MDB ini, orang masih tidak peduli, kata Mohd Radzi.

Pensyarah dan pakar perunding di Universiti of Tasmania di Hobart itu berkata beliau pernah membangkitkan isu 1MDB kepada pemimpin utama Umno.

Namun katanya beliau kecewa kerana segala maklumat hasil penyelidikannya itu disia-siakan pemimpin Umno.

Mohd Radzi juga mendakwa beliau pernah menyarankan supaya Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya sebagai pemimpin parti dan kerajaan.

Sebaliknya, kata pemegang ijazah doktor falsafah dari Australian National University itu dituduh tidak menghormati pemimpin.

Umno kata 1MDB bukan isu, rakyat tak kena tempias... tapi hakikatnya hari ini kita nampak (apa kesannya).
Saya sudah sebut banyak kali bahawa hutang ini akan mencengkam rakyat.
Dari dulu saya tanya (kepada Umno), apa hasil daripada 1MDB? Ada hutang berpuluh bilion tapi apa hasilnya kepada negara?
Nak siasat tak sukar, sebab ia berlaku dalam sistem perbankan. Kita boleh jejak transaksi yang dilakukan dan kita boleh tahu masuk akaun siapa, kata Radzi yang juga bekas pemimpin kelab penyokong Umno luar negara.


Pengalaman jadi timbalan menteri

Dalam temubual selama 30 minit itu, Radzi turut berkongsikan pengalamannya sewaktu pertama kali memegang jawatan timbalan menteri.

Ujar anak jati Ketereh, Kelantan itu agak sukar bagi seorang pensyarah yang banyak bermain dengan nombor dan kira-kira untuk memahami selok-belok pentadbiran, namun, katanya berbidalan, alah bisa tegal biasa.

Tanggungjawab yang diamanahkan akan ditunaikan sebaik mungkin demi menyelamatkan Malaysia.

Tun Dr Mahathir buat panggilan kepada saya pada 4 Syawal. Itulah bermulanya satu lagi sejarah dalam hidup saya.
Perdana Menteri telefon saya melalui pejabat beliau. Saya amat terkejut.
Sebagai seorang yang baru dalam politik secara langsung dan dilantik ke kementerian yang agak kanan dan banyak perkara yang perlu diambil kira, adalah satu pembelajaran yang agak sukar bagi saya.
Kena belajar banyak lagi dalam masa yang singkat. Saya dilantik sebagai senator dan timbalan menteri hampir sebulan, dan nak selesaikan urusan pejabat dan dilantik semasa parlimen bersidang, maka saya kena kemas kini dengan isu dan soalan dalam masa yang singkat adalah satu cabaran.
Agak besar bagi saya bila bercakap tentang Felda, ekonomi negara, dan ia singkat untuk saya fahami segala itu.
Tapi saya yakin dengan sokongan daripada semua pihak ia boleh dilaksanakan, katanya.

Sumber : MK