Zainuddin - Masalah Sekolah Tahfiz Sama Dengan Sekolah Cina Persendirian


Apabila saya mengesyorkan maahad tahfiz ditutup,timbul kegemparan digemparkan oleh mereka  yang hanya membaca tajuk tulisan saya  tanpa isinya lalu  membangkitkan  emosi bersifat tidak sihat, fanatik dan hysteria.Mungkin juga kerana  saya tidak menekankan sekolah tahfiz yang saya maksudkan ialah sekolah persendirian.

Saya tetap dengan pendirian saya bahawa kerajaan terutamanya jabatan-jabatan agama negeri mestilah menutup sekolah tahfiz yang didirikan tanpa keizinan dan mencegah  pertumbuhannya lebih banyak secara liar. Cukuplah setakat yang ada kerana perkembangannya yang tidak terkawal  akan menjadi masalah besar kepada kerajaan sama seperti sekolah-sekolah persendirian Cina  yang mulanya mahu bebas tetapi akhirnya berharap menyertai arus perdana dengan meminta pengikhtirafan kerajaan.

Pertumbuhan sekolah pondok sejak dari zaman penjajah dan  sekolah Cina persendirian sama asas dan motifnya untuk menjadi kuat  dalam dunia masing-masing dengan  keperibadian tersendiri walapun sudah ada sekolah kerajaan sejak  di bawah penjajahan British.

Sekolah persendirian Cina dan sekolah persendirian tahfiz sebenarnya tidak mahu tercicir dari arus perdana  tetapi mereka hanya berasa  ketinggalan dan  kelemahan  setelah menghadapi masalah kewangan dan pengikhtirafan masyarakat dan negara.  

Di Negeri Kedah dan Perlis kesedaran di kalangan Istana sejak sebelum merdeka terhadap perlunya diberikan  nilai sekular kepada  sekolah-sekolah Arab Agama dengan mengadakan  kurikulum dan kokurikulum  seperti sekolah-sekolah Melayu dan  Inggeris kerajaan telah  melahirkan pelajar-pelajarnya yang tidak sahaja mempunyai displin  keugamaan yang teguh tetapi lebih terbuka minda dari keluaran pondok dan lebih luas pasaran mereka.Kebanyakan mereka menyertai sekolah malam atau petang Inggeris di zaman Inggeris atas kesedaran sendiri.Mereka tidak mahu hanya sekadarkan menjadi ustaz dan pak lebai.

Saya tidak nafikan adanya keluaran  tahfiz yang berjaya tetapi jumlah mereka  amat lah kecil dibandingkan dengan  produk dari  Sistem Pelajaran Kebangsaan  tetapi  mereka tidak seharusnya melalui zaman yang sukar dan tertekan dengan segala kekurangan untuk mencapai kejayaan sedangkan negara menyediakan segala kemudahan untuk  berjaya sebagai anak-anak Islam yang lebih mempunyai keyakinan diri,bernilai nasional dan sejagat dari peringkat rendah lagi.

Mereka menjadi mangsa kepada kefanatikan ibubapa yang melihat agama dalam nilai terbatas dan sempit.

Sebenarnya tidak sahaja sekolah-sekolah Cina persendirian yang mendatangkan masalah politik dan sosial pada negara bila mereka menyedari telah tesisih dari aliran perdana dan menuntut pengiktirafan kepada  Sijil Peperiksaaan Bersepadu (UEC) untuk meletakkan mereka setaraf dalam arus perdana, sekolah-sekolah tahfiz juga telah  mendatangkan masalah yang sama malah akan  mendatangkan masalah yang lebih besar jika tidak dikawal dengan tegas dari sekarang.

Kerajaan tidak boleh mengharapkan  kepada Jabatan-Jabatan Agama Negeri dengan sistem pentabiran yang lapuk dan bertradisi untuk mengatasi masalah ini. Kita tidak tahu angka sebenar sekolah-sekolah tahfiz yang masih terbiar dan tidak bernilai.

Tetapi arahan Raja Muda Perlis Tunku Syed Faizuddin Putra Jamalullail supaya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis membuat kajian bagi mewajibkan atau tidak semua maahad  tahfiz ditutup kerana tidak menawarkan Sijil Pelajaran Malaysia adalah membayangkan kemungkinan majlis-majlis agama di lain-lain negeri juga tidak menjalankan tugas ini dan membiarkan sekolah-sekolah tahfiz tanpa jaminan masa depan kepada anak-anak untuk mendapat pelajaran yang sempurna kecuali menghafal Quran.

Alhamdulillah Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr.Mahathir telah menampakkan kesedaran terhadap kelemahan dalam pengurusan hal ehwal Islam di negara ini   dengan penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan yang dianggotai lima tokoh agama dan akademik  yang profesional  bagi menambah baik insistusi -istitusi Islam di peringkat Persekutan untuk bertanggungjawab menyebar luas nilai kesejagatan Islam di negara ini.

Tahniah kepada Raja-Raja Melayu yang dari dahulu lagi mahukan dinamisma dalam usaha meningkatkan taraf Islam di negara ini  telah memperkenankan penubuhan jawatankuasa itu.

Sumber : Zamkata

Post a Comment

0 Comments