21 Tuduhan Membabitkan RM2.8billion Akan Dihadapi Najib !


Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahkan menahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pekarangan ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ, di sini, hari ini setelah mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata Najib akan dikemukakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Najib akan menghadapi sebanyak 21 pertuduhan membabitkan AS$681 juta (RM2.8 bilion).
"Sembilan dan lima pertuduhan masing-masing membabitkan penerimaan wang haram dan penggunaan wang haram.
"Tujuh pertuduhan lagi membabitkan pemindahan wang haram ke entiti lain.
"Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Najib dibawa ke ibu pejabat AMLA bagi dirakam percakapannya berhubung siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFA 2001.

Kehadiran bekas Perdana Menteri ke ibu pejabat itu bagi membantu siasatan oleh pihak polis yang bekerjasama dengan pasukan penyiasat SPRM berhubung siasatan kes sama.

Sumber : BH

Post a Comment

0 Comments