Kawasan parlimen dah start serbuan, nampaknya kementerian kesihatan perlu menambah penguatkuasa untuk meningkatkan lagi saman kepada perokok. Memang patut pun mereka disaman!

Sinar Harian |  Lapan kompaun kesalahan merokok dikeluarkan termasuk seorang ahli Parlimen sejurus bangunan Parlimen digazet sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa 15 Oktober 2018.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tegas melaksanakan pemantauan ketat di ruang telaga udara, tempat rehat (lounge) ahli Dewan Rakyat dan kafeteria bangunan utama di Parlimen.

Ketua Sektor Kawalan Tembakau KKM, Dr Ariana Hassan berkata, hari ini kementerian menghantar seramai 23 orang pegawai kesihatan persekitaran untuk memantau tiga ruang merokok yang sebelum ini disediakan untuk merokok.

"Semalam hari pertama kita telah keluarkan lapan kompaun kesalahan, pagi ini belum ada lagi kes. Kami pantau di ketiga-tiga zon merokok sepanjang Parlimen bersidang," katanya ketika ditemui di luar bilik merokok di Parlimen, hari ini.

Bangunan Parlimen (Kawasan Larangan Merokok)

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mulai semalam, sudut merokok dan tempat makan di dalam bangunan Parlimen diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan secara  serius mengikut peraturan bagi menjadikan keseluruhan kawasan berkenaan sebagai bebas merokok.

“Bagi perokok, mereka perlu merokok di luar bangunan Parlimen itu kerana di dalam bangunan Parlimen tiada lagi kawasan untuk merokok,” 

Kesalahan ini tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Perokok yang merokok di tempat larangan merokok boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM 500 dan jika gagal dijelaskan boleh dikenakan denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengisytiharkan semua restoran termasuk gerai dan warung di tepi jalan  di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Jan 2019.