HMETRO | Pusat tarbiah ideologi ekstremis, penyebaran fahaman Salafi Jihadi dan menolak sistem demokrasi. Itu kegiatan sebuah pusat pembelajaran agama Islam di utara tanah air menyebarkan doktrin fahaman tidak bersesuaian diamalkan di negara ini.
Pendedahan itu dibuat seorang pelajar pusat berkenaan dikenali sebagai Rasdan, 35, dan lelaki itu mengakui pusat itu membawa pendekatan Islam sebenar yang dikenali sebagai ‘Salafi’.
Rasdan berkata, kebanyakan tenaga pengajar di pusat itu membawa fahaman yang berbeza selain mengatakan umat Islam di negara ini sudah banyak melakukan bidaah yang sesat.
“Mereka (tenaga pengajar) juga memaklumkan hanya pendekatan Islam sebenar digelar sebagai Salafi saja yang wajar diiktiraf dan tiada golongan lain.
“Kami juga diajar menolak sistem demokrasi dan kebanyakan yang ditekankan adalah perbuatan bidaah yang membatalkan akidah.
“Boleh dikatakan ramai tenaga pengajar membawa pendekatan radikal daripada aspek pemikiran, namun pada peringkat awal, saya rasakan mungkin ini ciri Islam sebenar,” katanya.
Menurutnya, wujud juga individu penting bersama-sama mengembangkan pusat pembelajaran itu sehingga menarik ramai pelajar asing terutamanya daripada negara Timur Tengah.
Katanya, kemasukan mereka ini menyemarakkan lagi fahaman Salafi Jihadi atau Salafi Takfiri yang gemar menyalahkan perbuatan orang lain dan hanya kelompok mereka saja yang benar-benar Islam.
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MyRISS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, pendekatan ajaran ekstremis itu sememangnya ciri utama pengikut Daish.
“Sepanjang kajian saya dalam gerakan militan atau radikal ini, mereka menggunakan pendekatan keras seperti menolak demokrasi, gemar membidaahkan perbuatan atau amalan orang lain dan beranggapan kelompok mereka saja yang benar.
“Ini semua ciri golongan Daish dan saya yakin, jika pihak berkuasa tidak bertindak, ia akan membawa ideologi itu ke peringkat lebih tinggi sehingga menimbulkan kekacauan keselamatan.
“Kemasukan pelajar asing terutamanya daripada Timur Tengah perlu disaring supaya tidak membawa fahaman tidak bersesuaian ke negara ini.
“Langkah itu amat penting bagi menjaga kestabilan keselamatan di negara ini sekali gus mengekang kemasukan fahaman songsang,” katanya.
1 Comments
apa beza dgn parti PAS ni? confuse aku ni. mana satu pejuang islam nk ikut ni
ReplyDelete