Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan kehilangan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bernilai RM25 juta.

Menurut Menterinya, Gobind Singh Deo, ia bagi memuktamadkan kes berkenaan dengan kadar segera serta memudahkan kementerian melakukan penstrukturan semula Finas.

“Saya tidak menyatakan sesiapa bersalah tetapi apa yang penting ialah kerana wujudnya aduan, dan aduan itu dalam siasatan, kita mahu lihat hasil siasatan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan pelaburan ‘Malaysia: A New Dawn Investors’ Conference’, di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata beliau telah menghantar surat kepada SPRM pada 30 Ogos lepas meminta perkembangan terkini mengenai status siasatan dan pada 12 Sept, SPRM memaklumkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

SPRM sebelum ini dilaporkan akan menyiasat dakwaan berhubung salah laku dan penyelewengan dana dalam FINAS.

Sumber : MK