Kakitangan Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng dekat sini meminta kerajaan Pusat bertindak secara adil dan telus jika mahu kajian semula dilakukan terhadap kilang memproses nadir bumi tersebut.
Pengurus Kanan Pengekstrakan Pelarut Lynas Malaysia, Khairul Suhaimi, 41, berkata, keadilan penting kerana perkara itu membabitkan periuk nasi kira-kira 631 pekerja di kilang berkenaan yang hampir kesemua adalah rakyat tempatan.
‘‘Kami memohon kepada kajian semula yang hendak dilakukan nanti dilaksanakan secara objektif, telus dan saintifik serta adil terhadap syarikat kami.
‘‘Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan berhubung semakan semula ini, namun berharap kami dilayan secara adil seperti syarikat lain di negara ini,’’ katanya.
Kelmarin, lebih 1,000 orang membabitkan kakitangan Lynas, kontraktor dan masyarakat tempatan mengadakan perhimpunan aman di Petanque Arena di Pantai Balok di sini bagi menyuarakan kebimbangan operasi pemprosesan nadir bumi itu bakal ditutup.
Ribuan warga Lynas Malaysia, para kontraktor dan komuniti tempatan serta ahli-ahli keluarga masing-masing hadir sambil membawa kain rentang dengan tanda pagar #SaveLynas dan #KamiWargaKuantan dalam perhimpunan itu.
Mereka turut membawa sepanduk 'Hidup Lynas' dan 'Hidup Tun' serta merayu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya bertindak adil terhadap Lynas dan pekerja syarikat berkenaan.
Khairul yang sudah bersama Lynas Malaysia sejak kilang itu beroperasi di negeri tersebut tidak pernah menganggap tapak projek nadir bumi itu berbahaya kepada penduduk Kuantan.
“Saya menggesa pihak terlibat dengan kajian semula supaya bersikap adil dan telus.
“Kami tidak mempunyai masalah dengan kajian semula operasi Lynas Malaysia kerana mematuhi peraturan tetapi kami hanya mahukannya berlaku adil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akauntan Kewangan Lynas Malaysia, Fairuz Kasmoin pula berharap kerajaan mengiktiraf Lynas sebagaimana syarikat serta kilang lain.
“Saya mengundi untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi kini telah menyebabkan saya dalam situasi sukar. Saya amat kecewa,” jelas beliau
Sumber: utusan
0 Comments