Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyoal jika Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang akan menggesa perdana menteri untuk membuka semula siasatan terhadap beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi.
"Saya mahu bertanya secara terus-terang kepada Kit Siang: Saya tahu saya tidak tidak ada kena-mengena dengan kematian kesemua mangsa-mangsa ini. Oleh itu, saya sudah setuju dengan anda agar siasatan khas dijalankan.
"Adakah kamu masih mahu siasatan khas dibuka sebagaimana gesaan anda dua hari lalu kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk laksanakan?
"Adakah kamu akan memujuk Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk melakukan ini serta-merta?" Tanya beliau pada suatu hantaran Facebook malam tadi.
Najib mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP itu semalam yang terkejut bekas perdana menteri bersetuju dengannya supaya kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Kevin Morais dan Hussain Najadi perlu dibuka semula untuk penyiasatan khas dibentuk.
"Saya tidak faham dengan Lim Kit Siang ini. Bila saya tak setuju dengan beliau, dia marah. Bila saya bersetuju dengannya, pun dia marah," katanya.
Kini HARAPAN tiada alasan lagi
Najib juga berkata Lim salah untuk mendakwa beliau hanya berminat dengan keadilan selepas kehilangan kuasa.
"Siapa kata tidak pernah disiasat? Masalah Kit Siang dan HARAPAN ialah mereka tetap akan menolak segala siasatan dan keputusan mahkamah dengan alasan siasatan dan kehakiman semasa kerajaan BN tidak adil kerana mereka hanya mahu fitnah mereka terhadap saya diteruskan.
"Kes Teoh Beng Hock dibicarakan di Mahkamah Tinggi, di Mahkamah Rayuan dan juga di Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Kes Altantuya dan Hussain Najadi dibicara selama bertahun-tahun di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Persekutuan.
"Kes Kevin Morais di mana 7 orang dituduh juga telah mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi sejak April 2017," jelas bekas presiden Umno itu.
Menurut Najib "kini Kit Siang dan HARAPAN tidak ada alasan lagi."
"Semua kertas siasatan, kuasa agensi-agensi siasatan untuk ketiga-tiga kes pembunuhan dan mahkamah ada pada tangan kerajaan HARAPAN.
"Tiada sebab untuk mereka tidak mengambil langkah itu tanpa lengah dan perlu segera mewujudkan siasatan khas sebagaimana diarahkan Kit Siang melainkan mereka masih ada rancangan untuk menggunakan isu ini pada masa depan untuk terus memfitnah saya," katanya.
1 Comments
Krim Penghilang Flek Hitam Terlaris
ReplyDeletehttp://www.rianistore.com