Hari terakhir Kongres Nasional PKR 2018 hari ini menyaksikan aksi berbalas sindir-menyindir di antara pucuk pimpinan parti itu.
Meskipun sindiran tersebut dibuat dalam nada jenaka tetapi maksud yang cuba disampaikan dilihat cukup dalam sehingga menarik perhatian para perwakilan.
Ia bermula apabila Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak menyangka pendapatannya yang diisytihar lebih tinggi daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, mengikut pengisytiharan pendapatan yang dibuatnya, beliau kini berada di kedudukan keempat yang memperoleh gaji tertinggi dalam kerajaan.
Menurutnya, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pula mengisytiharkan pendapatan lebih rendah daripadanya.
“Saya tanya dia (Mohamed Azmin), rupanya beza gaji saya dengan dia sebab saya masukkan pencen. Azmin cakap dia tidak dapat pencen lagi.
“Saya ingat umur saya dengan dia seumur (sebaya) je, macam mana saya dapat pencen dia tidak. Rupanya bila kita balik Parlimen kita dapat pencen,” katanya secara berseloroh di sini hari ini.
Terdahulu, Saifuddin Nasution juga mengatakan bahawa beliau tidak akan menggunakan muzik latar dalam ucapannya tetapi meminta muzik tersebut digunakan ketika Mohamed Azmin berucap.
Selepas itu, ketika ucapan penggulungannya, Mohamed Azmin pula mengambil peluang membalas sindiran itu apabila menyatakan gaji Saifuddin lebih tinggi daripada Perdana Menteri.
“Saifuddin punya harta lebih besar daripada Perdana Menteri... dia salah sebenarnya tidak sebesar itu.
“Namun, bagi saya itu tidak apa (soal gaji), yang penting kita telus (sanggup isytihar harta),” ujarnya sambil disambut dengan sorakan para perwakilan.
Membalas mengenai isu muzik latar tersebut pula, Mohamed Azmin berkata, Pengerusi Tetap dan Saifuddin Nasution selaku Setiausaha Agung boleh mengarah penggunaannya tetapi tidak semestinya ia akan dipatuhi.
“Saifuddin dan Pengerusi Tetap boleh guna muzik (untuk menandakan masa ucapan sudah tamat) untuk saya tetapi tidak semestinya saya akan patuh,” katanya.
Utusan
0 Comments