"Ratifikasi ICERD" Jaminan Azmin Ali & PKR - Kerajaan Tidak Tunduk Kepada Kuasa Besar

Kerajaan tidak akan tergesa-gesa meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, masyarakat Melayu dan Bumiputera tidak perlu bimbang berhubung perkara itu.

“Kononnya mahu kita ratifikasi konvensyen antarabangsa untuk memastikan penghapusan diskriminasi terhadap kaum. Saya ingin beritahu kita dalam PKR lebih awal mengambil tindakan supaya semua kaum mendapat kesaksamaan.
“Justeru, orang Melayu dan Bumiputera jangan bimbang kerana kita tidak tergesa-gesa mahu meratifikasi ICERD kerana kita sudah laksanakan beberapa prinsip utama dalam perkara terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung pembahasan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, negara tidak akan sesekali tunduk kepada kuasa besar yang mahu supaya Malaysia meratifikasi konvensyen berkenaan.

“Jangan kita tunduk kepada kuasa besar yang mahu mengajar kita kerana kita dalam PKR harus bangga kerana kepemimpinan kita lebih awal melaksanakan perkara ini.
“Dasar ekonomi diperkenalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi berasaskan kaum tetapi berasaskan keperluan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya,” katanya.

Perihal FELDA

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau akan membentangkan kertas putih berhubung FELDA di Parlimen bulan depan.

“Ada perwakilan menyentuh mengenai masalah peneroka FELDA, suka saya ingin maklumkan bahawa saya akan bentangkan kertas putih Disember ini mengenai kecurangan yang berlaku,” katanya.

Berita Harian



Post a Comment

0 Comments