Dulu Komunis, Kini Pantun Musuh Tentera ?

Berilah saya pisau raut,
Hendak meraut bingkai tudung;
Gila apakah panglima menyebut,
Menyerang pantun tanpa terselindung.

Sejak kurun ke-16, interaksi pendatang Eropah dengan Alam Kepulauan Melayu turut membawa kepada minat sebahagian daripada mereka termasuk paderi kepada hasil kesusasteraan Melayu tradisional.

Hikayat Raja Pasai misalnya sudah diterjemah ke bahasa Perancis seawal abad ke-17. Sejarah Melayu pula diterjemah ke bahasa Inggeris oleh John Leyden pada abad ke-19.

Minat Barat terhadap hasil kearifan Melayu juga dilihat pada sikap 'tamak' Stamford Raffles ('pengasas' Singapura) mengangkut pulang himpunan manuskrip Melayu yang besar jumlahnya.

Seterusnya, dalam misi kedua Raffles 'merompak' khazanah persuratan Melayu, dianggarkan sekurang-kurangnya 300 naskhah Melayu yang dibawa musnah apabila kapal Fame terbakar pada 2 Februari 1824.

Dalam banyak warisan Melayu, pantun menjadi satu genre puisi Melayu tradisional yang banyak menarik minat dunia Barat. Pantun Melayu juga sudah lama diterjemah ke bahasa Rusia, Itali dan Poland. 

Sejak abad ke-19, pengarang Jaroslav Seifert telah memperkenalkan pantun di Czechoslovakia yang berjudul "Dvanact pantoumu o lasce" (12 pantun tentang cinta).

Di Jerman, seorang pedagang, Hans Overbeck (lahir 1882) yang memang datang dari keluarga niagawan adalah contoh 'penggila' pantun dari khazanah 'malaiischen Reiche' (kerajaan Melayu).

Antara naskhah pantun dalam koleksinya ialah Pantun Sireh, Pantun Chincholak, Pantun Kaseh, Pantun Bintang dan Pantun Bunga.

Banyak lagi koleksi hikayat dan pantun ditelaah Hans Overbeck sekali gus menggambarkan minat mendalamnya dalam khazanah persuratan Melayu yang kini tersimpan dalam Katalog Manuskrip Melayu, Museum Pusat Jakarta.

Hans Overbeck bukan sekadar penyimpan tetapi hasil penelitiannya tentang pantun ditulis dan banyak diterbitkan dalam JMBRAS dan JSBRAS.

Bukan sahaja pantun, Hans Overbeck telah menterjemahkan Hikayat Hang Tuah ke bahasa Jerman!

Bentuk pantun Melayu juga sejak abad ke-19 cuba ditiru penyair Rusia, Perancis dan Itali. Penyair Rusia Valery Bryusov (1873-1924) misalnya pada 1909 cuba memasukkan elemen pantun dalam karyanya, 'Malayskie Pesni (Lagu-lagu Melayu).

Seorang pengkaji budaya dari Saint Rogatien, Perancis Dr. Laurent Metzger bukan sahaja fasih berbahasa Melayu malah boleh mengarang pantun dan cerpen dalam bahasa Melayu! 

Namun, sayang seribu kali sayang, hari ini, Malaysia yang merupakan inti kebudayaan Melayu tiba-tiba memusuhi pantun.

Daripada pelbagai isu genting berkaitan keselamatan dan pertahanan tanah air, rupa-rupanya isu pantun menjadi topik perbincangan pegawai tinggi tentera!

Itulah yang masyarakat umum dapat tafsirkan daripada surat edaran dalaman bertarikh 2 November lalu berhubung arahan larangan penggunaan pantun dalam skrip juruacara majlis rasmi tentera.


Mulanya, banyak pihak agak hairan dengan sikap ATM yang 'memusuhi' pantun itu. Malah, ada yang menganggap surat ditandatangani Leftenan Jeneral TUDM, Dato' Kamalruzaman bin Mohd Othman itu sebagai palsu.

Namun, surat dikeluarkan Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Hal Ehwal Awam - J7, Markas Angkatan Tentera Malaysia bertarikh 5 November menjawab kritikan terhadap mereka tetapi lebih banyak persoalan baru yang timbul.


Jika kita cermat membaca dan membandingkan isi kedua-dua surat yang hanya berselang tiga hari itu, kita dapat mengesan ada beberapa perkara 'tidak kena' iaitu:

1. Bermula dengan pantun, melarat ke gurindam dan seloka

Penegasan tentang larangan penggunaan pantun, gurindam dan seloka oleh juruacara ketika majlis-majlis rasmi ketenteraan hanya muncul dalam reaksi ATM selepas tularnya surat pertama yang dikatakan untuk edaran dalaman itu.

Padahal, surat itu hanya menyebut larangan penggunaan pantun. Majlis rasmi ATM yang bersifat rejimental pun tidak disebut dalam surat pertama.

Mengapa juga dalam surat pertama tidak disertakan sekali larangan penggunaan gurindam dan seloka dalam majlis rasmi ketenteraan? Sebenarnya, siapa di belakang arahan larangan yang memusuhi khazanah persuratan Melayu ini?

2. Buta seni berbahasa

Surat pertama ATM sahaja mengundang persoalan, adakah ATM hanya menganggap pantun itu rangkap kata berirama yang hanya bersifat jenaka semata-mata?

Kalau atas alasan masa, adakah tanpa juruacara tidak lagi menyebut serangkap pantun dalam majlis, maka banyak masa produktif ATM dapat dijimatkan?

Namun, reaksi ATM dalam surat kedua menambahkan lagi senarai pertanyaan, adakah ATM tidak tahu membezakan ciri pantun, gurindam dan seloka?

Mungkin ATM keliru pantun tidak sama dengan seloka dan gurindam. Jika pantun hadir dalam ikatan berirama dengan lazimnya empat baris a/b/a/b, lain pula dengan gurindam yang bersifat bebas.

Gurindam tidak tetap jumlah perkataan sebaris, jumlah sukukata dan rima. Seloka pula memang sifatnya bersenda gurau bahkan menyindir dan mengejek.

Mudah kata, pantun lebih 'tertib' dan halus binaannya. Suatu ungkapan itu tidak dipanggil pantun jika tidak tertib, biadap dan tidak beretika dari segi struktur mahupun maknanya. 

3. Adat dan budaya diketepikan 

Walaupun ATM menafikan mereka "mengetepikan adat dan budaya" dengan keluarnya larangan itu, tetapi umum melihat ATM sedang berbuat demikian.

Tambah apabila dalam surat kedua diberikan contoh bahawa pantun dilarang untuk "acara yang melibatkan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Raja-Raja dan pembesar negeri".

Maruah pantun seperti diturunkan taraf pula apabila hanya untuk majlis melibatkan jamuan bersama anggota keluarga dan sukan. Tidakkah dengan contoh yang ATM berikan itu bukti adat dan budaya berbahasa Melayu diketepikan?

4. Pantun tidak tertib, tidak beradab? 

ATM menegaskan bahawa majlis rasmi mereka adalah "bersifat regimental dan pelaksanaannya dilakukan dengan tertib, penuh dengan adab dan etika ketenteraan".

Masyarakat awam lebih-lebih lagi pencinta budaya tidaklah keterlaluan hingga memaksa pantun jauh sekali jenaka perlu diguna semasa acara perbarisan tentera.

Namun, apabila acara melibatkan golongan istana dan orang kenamaan pun dilarang menggunakan pantun, wajarlah mengundang rasa tidak puas hati kalangan orang awam.

Gubahan pantun itu sendiri tertib dengan penggunaan kata minimum tetapi kesannya maksimum. Pantun yang murni itu beradab. Orang yang memusuhi pantun itu yang biadap.

5. Pantun teras kedaulatan bangsa

Pada ketika di akhir surat bertarikh 5 November itu tertera ungkapan, "ATM Teras Kedaulatan Negara", mereka lupa bahawa pantun itu adalah teras kebudayaan keintelektualan bangsa yang merdeka dan bermaruah.

Kalau tentera Malaysia sendiri 'memusuhi' pantun, pada siapa lagi khazanah pantun dapat berpaut? Mustahil pantun dapat dilestarikan dalam majlis tentera Singapura, China atau negara India.

Siapa dan di mana lagi pantun dapat diperdengarkan kalau bukan dalam acara yang melibatkan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Raja-Raja dan pembesar negeri?

Adakah pantun hanya layak diperdengarkan kepada Maharaja Jepun bukan dalam "acara rasmi yang dilaksanakan di peringkat ATM dan perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM"?

6. Motif tersembunyi larangan pantun

Timbul juga persoalan dari segi motif arahan larangan itu dikeluarkan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru berusia enam bulan.

Adakah keputusan pelik yang tertera pada surat bertarikh 2 November lalu bermotif politik untuk menebalkan lagi rasa prejudis masyarakat Melayu terutamanya kepada kerajaan PH?

Mungkinkah dalam kalangan pegawai tinggi tentera memang tersembunyi niat mahu mensabotaj PH dengan mencipta isu yang dilihat anti Melayu?

Ada sumber dalaman memberitahu saya bahawa arahan itu hanya terhad untuk majlis ketenteraan sahaja tidak tertakluk kepada acara Kementerian Pertahanan.

Apapun, persepsi awam sedang menjurus kepada anggapan PH kononnya anti Melayu, tambahan Timbalan Menteri Pertahanan adalah seorang Cina. DAP lagi walaupun Chin Tong itu lebih faham dan jelas menghormati budaya Melayu.

Dalam pencak silat (jangan selepas ini silat pula dilarang dalam acara rasmi tentera) politik, persepsi dan pendapat awam (public opinion) jauh lebih berkuasa daripada fakta.

Persepsi negatif menjadi senjata ampuh untuk memusnahkan kuasa walaupun si penguasa rajin buat kerja, jujur berintegriti tidak rasuah sesen pun. Itu sebab dalam sepak terajang siasah, pemimpin itu bukan saja harus baik tetapi perlu dilihat baik di khalayak umum.

Sekarang, disebabkan surat arahan PAT itu, nama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pula terpalit lumpur. Timbalannya, Chin Tong juga jadi bidikan bukan saja musuh politik parti (itu tidak dihiraukan sangat sebab memang 'tugas' mereka) tetapi bahayanya, rata-rata masyarakat awam.

Bahkan, penyokong PH dan pengundi PH pada PRU14 lepas yang bukan tegar PH tapi sudah bosan dengan BN, mulai tertanya-tanya apa sebenarnya sikap PH apabila menjadi kerajaan ketika banyak isu penting berkaitan kos sara hidup dan jurang pendapatan rakyat masih gagal ditangani oleh kerajaan.

7. Cerminan jiwa hamba pegawai tinggi tentera 

Jika arahan larangan pantun langsung tidak bermotif politik (seperti pada nombor 6), tetap menimbulkan soalan serius yang membawa kepada kritikalnya pemikiran pegawai tinggi tentera di tanah air ini.

Adakah kerana bekas penjajah 'orang putih' tidak ada budaya pantun, maka PAT menganggap pantun tidak wajar diselitkan dalam majlis rasmi angkatan perajurit tanah air kita?

Adakah pegawai tinggi tentera menganggap pantun berjiwa lembik? Adakah ATM akan muncul jadi lebih gagah perkasa terbilang di Nusantara dengan tiadanya pantun dalam majlis rasmi mereka selepas ini?

Dulu komunis, kini pantun sudah menjadi musuh tentera?

Tulisan Artikel : Arif Atan

Post a Comment

0 Comments