Tindakan kumpulan perusuh merosakkan bangunan yang dipercayai milik pemaju, One City Development Sdn. Bhd. ( One City) disifatkan sesuatu yang melampau.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, beliau kecewa dengan apa yang dilakukan kumpulan perusuh tersebut.

Polis sudah melakukan tangkapan serta siasatan sedang dilakukan, jadi kita tidak boleh mengambil tindakan secara melulu. Ini bukan soal agama atau bangsa sebaliknya isu diantara kuil dan pihak pemaju.

Menurut Mohd. Azis, pihak polis sudah memberi peluang kepada mereka tetapi tindakan kumpulan perusuh sesuatu yang melampau.

Jelasnya, polis juga akan mengambil tindakan terhadap perusuh yang terlibat malam ini.

Terdahulu, cermin dan pintu masuk bangunan syarikat pemaju itu pecah dipercayai dilakukan oleh kumpulan perusuh yang berarak dari Kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu turut menyaksikan sebuah kereta jenis Toyota Velfire dirosakkan oleh kumpulan perusuh berkenaan.

Sebelum itu, tiga buah kereta dibakar sekali lagi oleh kumpulan perusuh di hadapan kuil tersebut kira-kira pukul 1.20 pagi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berada di kawasan berhampiran turut dihalang daripada melakukan pemadaman.

Laluan Lebuh Raya Damansara- Puchong (LDP) ke Shah Alam berhampiran kuil tersebut juga masih ditutup daripada pengguna lebuh raya.

utusan