#RusuhanKuil Maklumat Mana Menteri Terima Polis Lambat Bertindak

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan mereka lambat bertindak dalam menangani insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi semalam.

Menurut Mohamad Fuzi, polis sampai ditempat kejadian kira-kira 10 minit, selepas mendapat panggilan daripada orang awam.

"Untuk makluman semua, kira jam 2:40 pagi bilik gerakan kami di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah nenerima satu panggilan daripada seorang orang awam yang di kenal pasti.

"Bertindak daripada maklumat itu kira-kira jam 2:50 pagi, polis  dengan kekuatan empat Unit Kereta Peronda (MPV) dan beberapa buah motosikal daripada  Unit Ronda Motosikal tiba  di tempat kejadian," katanya dalam sidang media, yang diadakan di  Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, sebentar tadi.

Justeru katanya, adalah tidak tepat dakwaan sesetengah pihak bahawa polis lambat bertindak dalam menangani rusuhan itu.

"Kita ada maklumat, jadi kita harap jangan buat spekulasi yang tidak bertempat, mereka tidak tahu situasi sebenar, kita sudah kawal keadaan," katanya lagi.

Mengulas lanjut berhubung insiden itu, Mohamad Fuzi berkata setelah polis tiba ditempat kejadian didapati kira-kira 5o lelaki berada di kuil berkenaan.

"Keadaan jadi tidak terkawal, kemudiannya polis ambil tindakan segera apabila menjelang 5 pagi polis telah berjaya kawal keadaan dengan dibantu oleh polis Ibu Pejabat Serdang dan Anggota Unit Simpanan Persekutuan yang berjumlah 700 orang," katanya.

Dalam insiden itu katanya 17 orang ditahan untuk membantu siasatan.

"Polis juga merampas dua bilah pedang, dua batang kayu dan dua paip getah," katanya.

Dalam pada itu beliau mengulangi kenyataan pihak polis sebelum ini bahawa insiden ini bukan melibatkan rusuhan kaum.

"Polis kini mengawal  ketat tempat kejadian, kita memantau 24 jam kawasan berkenaan.

"Jadi saya harap jangan ada lagi yang membuat spekulasi dan menyebarkan kenyataan palsu yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat awam," katanya.

Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments