IPIC Saman Goldman Sachs - Tuntut Kerugian Urusniaga Dengan 1MDB


Firma milik Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) pada Rabu memfailkan tuntutan saman terhadap bank pelaburan AS, Goldman Sachs dan pihak lain untuk mendapatkan semula kerugian yang dialami melalui urus niaga dengan 1MDB.

1MDB sebelum ini menjadi subjek siasatan rasuah dan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara.

IPIC dalam satu kenyataan berkata ia memfailkan tindakan undang-undang sivil di New York terhadap Goldman dan yang lain dengan mengatakan bahawa mereka "memainkan peranan utama dalam usaha untuk merasuah bekas eksekutif IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investments dan mengelirukan IPIC dan Aabar. "

Saman itu mendakwa Goldman bersekongkol dengan individu yang tidak dikenali dari Malaysia untuk merasuah bekas pengarah urusan IPIC dan pengerusi Aabar, Khadem Abdulla al-Qubaisi serta bekas ketua eksekutif Aabar, Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny bagi melanjutkan urusniaga Goldman dan 1MDB dengan perbelanjaan daripada IPIC dan Aabar.

"Kami sedang dalam proses menilai butir-butir tuduhan itu dan berharap dapat menentang saman itu dengan penuh semangat," kata seorang jurucakap Goldman.

Pegawai kerajaan Malaysia tidak dapat dihubungi untuk memberikan ulasan, lapor Reuters.

IPIC juga mengatakan dalam kenyataannya bahawa ia telah memfailkan aduan jenayah di United Arab Emirates terhadap Qubaisi dan Husseiny kerana didakwa menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa mereka.

Lokasi kedua-dua lelaki itu tidak diketahui dan mereka tidak dapat dihubungi.

Tahun lepas, 1MDB dan kerajaan bersetuju membayar AS$ 1.2 bilion kepada IPIC selepas keputusan timbang tara di London dan mengambil tanggungjawab untuk pembayaran prinsipal dan faedah berhubung bon 1MDB yang dijamin oleh IPIC.

Pada Selasa, Malaysia berusaha mengenepikan bayaran itu dan mengatakan akan menentang tindakan dan mengambil langkah untuk mengesahkan kesahihan penyelesaian.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendakwa sebanyak AS$ 4.5 bilion disalahgunakan daripada 1MDB oleh pegawai-pegawai tertinggi syarikat pelaburan berkenaan dan rakan sekutunya antara 2009 dan 2014.

Tiga minggu lalu, pendakwa raya AS memfailkan tuduhan jenayah terhadap dua bekas jurubank Goldman dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low kerana kaitan mereka dengan kes 1MDB.

Sementara itu, kerajaan mengatakan ia mahu menuntut balik dari bayaran Goldman yang diterima oleh bank AS itu untuk membantu 1MDB mengumpul wang serta kerugian yang dialami.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments