Konflik - Menteri Besar N9 vs Pengerusi PKR Negeri

Majoriti pemimpin cabang PKR di Negeri Sembilan menulis surat kepada presiden parti Anwar Ibrahim bagi menentang pelantikan Menteri Besar Aminuddin Harun sebagai pengerusi PKR negeri.

Dalam surat bertarikh 16 Dis yang dilihat Malaysiakini, para pemimpin cabang berkenaan menyebut mengenai "kelemahan dalam pentadbiran".

Menurut surat berkenaan, surat pertama bertarikh 13 Dis lalu jelas menunjukkan tujuh daripada lapan ketua cabang menolak kepimpinan Aminuddin sebagai pengerusi PKR negeri.

Pemimpin cabang yang menandatangani surat tersebut ialah Rosli Omar (Kuala Pilah), Karip Mohd Salleh (Jempol), Ahmad Azam Hamzah (Seremban), Ismail Ahmad (Rasah) dan Yus Mazmi Mohamad Yusuf (Jelebu).

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yus Mazmi dan Rosli Omar, yang juga ADUN Juasseh, enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini Aminuddin yang juga ketua cabang Tampin dilihat merupakan penyokong bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa isu itu telah diselesaikan berikutan pertemuan dengan Anwar.

Dalam pertemuan itu, kami mencadangkan menamakan anggota exco kerajaan negeri Mohamad Rafie Ab Malek (gambar di bawah) sebagai pengerusi PKR negeri.
"Kami mahu Rafie meringankan beban Aminuddin dengan menjaga hal-hal parti, sementara menteri besar, yang dilaporkan mempunyai masalah kesihatan, boleh memberi tumpuan kepada mentadbir negeri

Bagaimanapun, sumber menyatakan bahawa adalah menjadi hak kepada presiden parti untuk melantik pengerusi-pengerusi PKR negeri.

Dilaporkan Aminuddin menjalani pembedahan jantung pada 29 Okt lalu sebelum dimasukkan semula ke hospital pada 8 Nov.

Selain menolak Aminuddin sebagai pengerusi PKR negeri, para pemimpin cabang berkenaan juga menolak pencalonan Rafizi sebagai senator.

Surat itu menyatakan bahawa mereka memilih Karip bagi mengisi jawatan berkenaan.

Yus Mazmi mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa akar umbi mengutamakan Karip berbanding Rafizi, yang gagal menewaskan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan PKR Negeri Sembilan belum memuktamadkan keputusan mengenai jawatan senator kerana nama dicadangkan Aminuddin ditolak ketua-ketua cabang.

Dewan Undangan Negeri Sembilan dijangka membentangkan usul pada Rabu untuk mencalonkan dua calon bagi senator dari negeri itu.

Semalam, anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR dan pengerusi PKR Pulau Pinang.

Pengumuman itu dibiuat tidak lama selepas anggota PKR Latheefa Koya mendakwa berlaku unsur kronisme dan nepotisme dalam pelantikan pengerusi-pengerusi PKR negeri.

Berikutan itu, Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menolak pelantikannya sebagai pengerusi PKR Johor dan mendakwa proses pemilihan  tidak dilakukan secara telus.

Malaysiakini juga melaporkan kumpulan Azmin juga merancang menyekat pelantikan Rafizi bagi menjadi jawatan utama dalam majlis kepimpinan pusat PKR (MPP).

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments