Kami Tidak Baik, Kami Berpura Sopan Dalam Mahkamah

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, hari ini memfailkan permohonan supaya bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram menarik diri daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kesnya.

Dia menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, ketika ditemui pemberita berkata pihak pembelaan sudah memfailkan permohonan untuk membatalkan pelantikan Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan.

Pihak pembelaan sudah menyerahkan notis usul dan afidavit kepada pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 22 Januari depan untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan berkenaan permohonan itu.
Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 24 Januari 2019 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Sementara itu, peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sudah memfailkan permohonan itu minggu lalu.

Pada 13 September lalu, dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, Muhammad Shafee memberitahu bahawa dia akan membuat permohonan rasmi untuk melucutkan kelayakan Sri Ram daripada mengendalikan​​​​​​ kesnya memandangkan pada masa ini Sri Ram juga mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan dalam kes sivil membabitkan isu RM9.5 juta yang sama.

Muhammad Shafee berkata demikian semasa beliau berada dalam kandang tertuduh dan turut memberitahu bahawa beliau tidak mahu Sri Ram dalam apa juga cara terbabit dalam kes yang dihadapinya selain mendakwa Sri Ram berada dalam kapasiti tidak bebas dan mempunyai agenda.

Muhammad Shafee juga mendedahkan di dalam mahkamah terbuka yang hubungannya dengan Sri Ram tidak baik.

Kami tidak mempunyai hubungan yang baik. Kami berpura-pura bersopan terhadap satu sama lain di mahkamah.

Pada 31 Ogos lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas, mengumumkan pelantikan Sri Ram yang juga peguam terkemuka, sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengendalikan keseluruhan proses pendakwaan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kenyataan medianya, Thomas berkata pelantikan itu seiring dengan Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah memandangkan Sri Ram mempunyai pengalaman yang luas dalam undang-undang jenayah dan beliau akan berkhidmat secara ‘pro bono’ (tanpa bayaran).

Berita Harian

Post a Comment

0 Comments