Itulah nasib kira-kira 60 keluarga di Flat Taman Teluk Gedung Indah, di sini dan semakin lama penduduk perlu menanti, semakin terancam nyawa mereka kerana kediaman berkenaan mengalami keretakan serius akibat masalah tanah mendap.
Apa yang dikesalkan, sejak tanah mendap dan keretakan dikesan pada 2006, iaitu selepas enam tahun flat itu siap, sudah tiga kali pilihan raya umum berlangsung tetapi kesemua wakil rakyat di kawasan berkenaan gagal membantu biarpun pelbagai janji ditaburkan.
Dakwa penduduk, flat lima tingkat berharga RM42,000 yang dibina di atas tanah paya itu kini menghadirkan ancaman tambahan kepada penghuni apabila banyak disinggahi reptilia berbisa, khususnya ular tedung yang menjadikan rongga retak sebagai sarang.
Bukan itu sahaja, penduduk mendakwa bahagian tingkat paling atas hanya didiami dua keluarga sahaja berikutan kebocoran teruk dan ketiadaan bumbung selain masalah bau busuk dan denggi.
Menurut seorang penghuni, M. Devendran, 29, kebanyakan penduduk yang masih menetap di flat tersebut terpaksa menggadaikan nyawa berikutan tidak mampu untuk mencari rumah lain.
‘Ketika mula-mula menetap di sini kira-kira 17 tahun dulu tiada masalah tetapi selepas enam tahun saluran pembentungan bawah tanah mula mendap sehingga air kumbahan melimpah.
‘Malah, saya pernah patah tangan akibat terjatuh berikutan air kumbahan yang melimpah dan rumah kami juga mengalami kerosakan terutama bahagian pintu dan tingkap kerana anai-anai.
Menurut, seorang lagi penduduk, N. Anjaladevi, 56, berkata, dia kesal kerana beberapa individu yang mendakwa wakil pemaju dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sering datang mengambil gambar, tetapi tiada sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah.
‘Saya tinggal di tingkat bawah, masalah paling utama adalah haiwan berbisa seperti ular dan biawak pernah masuk ke dalam rumah selain bau sangat busuk kerana limpahan air kumbahan.
‘Penduduk bukan tidak mahu pindah tetapi ia memerlukan kos yang tinggi selain susah hendak mencari rumah yang sama harga dengan flat ini.
Sehubungan itu, Anjaladevi berharap, pihak berwajib khususnya kerajaan negeri mengambil semangat Malaysia baharu dengan membela nasib penduduk di flat berkenaan dan bukannya sekadar hadir dengan membawa janji manis semata-mata.
Utusan
0 Comments