Katanya Pemuda Umno melihat isu berkaitan integriti dan moral tidak boleh sesekali dikompromikan, apatah lagi elibatkan institusi agama yang diharapkan rakyat mengamalkan prinsip tadbir urus pada tahap yang lebih tinggi.
Pemuda Umno juga konsisten berpendirian bahawa selagi tidak disabitkan hukuman, seseorang itu berhak dilayani sebagai tidak bersalah berasaskan prinsip Islam (al-aslu bara’atu zimmah) dan prinsip perundangan (presumption of innocence).
Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah kelak dan bukannya dihukum di pentas media," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Tabung Haji membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi agensi itu yang juga Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.
Laporan juga dibuat terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Ismee Ismail dan Johan Abdullah.
Turut dinamakan ialah barisan pengurusan kanan iaitu Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Rozaida Omar, penasihat undang-undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff.
Susulan itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu Ulya Uqamah Husamudin tampil mempersoalkan di mana suara Pemuda Umno dan Asyraf Wajdi ketika berlakunya penyelewengan terhadap agensi itu.
Kenapa terus diam dan tidak bersuara menegakkan keadilan demi agama dan bangsa?
Asyraf Wajdi sebelum ini adalah timbalan menteri agama, beliau bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak agama Islam seperti ini terjaga, mengapa biarkan dan berdiam diri melihat kemungkaran di depan mata?
Kemungkaran yang berlaku di bawah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada beliau.
Tunggu keputusan mahkamah
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata Pemuda Umno mendesak pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat segera bertindak menyiasat laporan polis yang dibuat oleh pihak Tabung Haji.
"Siasatan ini perlu disegerakan atas dasar kepentingan awam dan mengelakkan rakyat berterusan berpolemik mengenai reputasi institusi Islam ini yang banyak jasanya kepada umat Islam di Malaysia dan begitu dihormati seantero dunia," jelasnya.
Sementara itu, Exco Pemuda Umno Bastien Onn menyifatkan terlalu banyak kes yang dibongkar kerajaan masih belum dibicarakan.
Katanya, operasi kerajaan seperti ini seolah-olah hanya mainan persepsi untuk disajikan kepada rakyat.
Jika ia bertujuan untuk politik mereka sekali pun, apabila melibatkan institusi besar seperti Tabung Haji, ini berbahaya kerana melibatkan tabungan ramai dan mungkin merisikokan pelaburan-pelaburan yang dibuat.
Saya ingin ingatkan bahawa kepentingan ramai perlu dijaga. Sekiranya ada tuduhan salah laku tadbir urus, ia perlu dibawa ke mahkamah bukannya mainan persepsi.
Tambah ketua pemuda Umno Segamat itu, individu seperti Ismee merupakan tokoh korporat yang imejnya perlu dijaga sehinggalah mahkamah memutuskan sebaliknya.
Malaysiakini
2 Comments
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
Delete