Pengetua Maahad Darul Anuar, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyifatkan usaha pihak tertentu untuk mengucar-kacirkan sekolah tersebut sebagai berniat jahat.

Katanya, ketika segala persiapan untuk menghadapi sesi persekolahan 2019 berjalan, tidak dinafikan wujudnya pihak yang berniat jahat dan mengganggu urusan pentadbiran.

"Alhamduulillah segala persiapan untuk sesi 2019 sudah dirancang dan berjalan seperti biasa sebagaimana tahun-tahun yang lepas.

"Kita tak nafikan usaha sesetengah pihak untuk mengkucar-kacirkan Maahad Darul Anuar yang berniat jahat sedikit sebanyak akan mngganggu urusan pentadbiran dan pengambilan pelajar, " katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Yayasan Islam Kelantan (YIK) sudah mempunyai calon untuk dilantik menjadi mudir Maahad Darul Anuar yang terletak di Pulau Melaka bagi menggantikan Nik Omar selaku penyandangnya.

Perkara itu disahkan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan.

"Ya, dah ada cadangan (mudir baru) daripada YIK," katanya ketika ditanya mengenai proses pengambilalihan sekolah berkenaan.

Maahad Darul Anuar ialah sekolah agama diasaskan oleh bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1963.

Ia dilihat sebagai salah satu legasi penting Nik Abdul Aziz.

Terletak kira-kira 9km dari pusat bandar Kota Bharu Maahad Darul Anuar menjadi perhatian baru-baru ini apabila ada usaha meletakkan sekolah tersebut di bawah kendalian YIK.

Sebelum ini maahad terbabit dikendalikan secara persendirian.

Khabar itu berlaku selepas Nik Omar bertindak meninggalkan PAS dan menjadi calon Amanah semasa PRU ke-14 lalu.

YIK pula bersetuju mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar selepas menerima permohonan organisasi keluarga Nik Abdul Aziz, Keluarga Besar Nikmatillah, yang mendakwa menjadi pemegang amanah.

Nik Omar bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan menyerahkan mandat sebagai pemegang amanah Maahad Darul Anuar kepada mana-mana pihak.

Sementara itu, Nik Omar berkata pihaknya yakin perkara itu dapat diatasi dengan baik.

"Dan kita tetap dengan fokus kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar Maahad Darul Anuar serta yakin dengan pertolongan Allah," jelasnya.

Malaysiakini