Projek Sandakan - Mencari Laba Politik

Hari ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengingatkan kepada penduduk Sandakan tentang jumlah peruntukan yang telah disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada daerah Sandakan.

Mungkin kenyataan akhbar ini hanyalah kebetulan dan tiada kena mengena dengan kempen PRK Sandakan yang akan bermula pada Sabtu ini.

Tetapi yang menariknya, Lim Guan Eng telah memberikan penekanan terhadap dua buah projek utama di daerah Sandakan iaitu projek naiktaraf landasan Lapangan Terbang Sandakan dan Projek Tebatan Banjir Sg Anip di Sandakan.

Dua buah projek ini sebenarnya telah diluluskan di bawah RMK-11 bagi tempoh 2016-2020 ketika pembentangannya pada tahun 2015. Jumlah RM80 juta peruntukan menaiktaraf landasan Lapangan Terbang Sandakan ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Mei 2017 ketika merasmikan bangunan terminal baru lapang terbang ini. Dengan kata lain, peruntukan tambahan RM80 juta yang diumumkan pada tahun 2017 ini adalah sambungan kepada projek naik taraf yang telah dimulakan ketika pentadbiran BN lagi.

Bagi Projek Tebatan Banjir Sg Anip pula,  kerajaan PH hanyalah menyambung perancangan awal yang telah dibuat oleh BN sebelum ini. Jika disemak kemaskini terakhir di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran pada 12 Disember 2017, jelas sekali PTB ini sememangnya telah dirancang awal oleh kerajaan BN untuk penduduk Sandakan.

Keputusan kerajaan PH untuk meneruskan projek pembangunan yang dirancang ketika pentadbiran BN harus dihargai. Kalau hendak ambil kredit pun, silakan. Sekalipun hendak mencari laba politik menjelang PRK Sandakan, janganlah menutup kebenaran sebenar seolah-olah projek yang dilaksanakan ini adalah projek baru di bawah PH.

Khairy J

Post a Comment

0 Comments