Perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak berhubung tuduhan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ketujuh di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Setiausaha Umno P Pinang sahkan cek RM1 juta
Saksi ke-13 Ahmad Sahar mengesahkan sekeping cek AmIslamic bernilai RM1 juta diterima dan ditunaikan oleh unit komunikasi Umno Pulau Pinang pada 2015.
Dia yang merupakan setiausaha Umno negeri itu memberitahu hal itu kepada timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi ketika sesi soal balas.
Pekerja Ambank Badrul Hisham Mohamad dalam keterangannya minggu lalu berkata unit komunikasi Umno Pulau Pinang menerima cek tersebut yang bertarikh 26 Februari 2015.
Wang itu disahkan daripada akaun Ambank yang dikaitkan dengan kes Najib berkenaan SRC International.
Wang untuk sumbangan kebajikan
Ahmad Sahar berkata RM1 juta yang diterima digunakan untuk kegiatan kebajikan Umno Pulau Pinang.
Ketika disoal peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Sahar berkata wang RM1 juta yang diterima itu antara lain digunakan untuk membantu mangsa bencana alam seperti banjir, dan sumbangan kepada golongan miskin dan anak yatim.
"Wang juga diberi kepada masjid untuk menganjurkan program," katanya.
Perbicaraan yang akan dikendalikan Hakim Mohd Nazlan Ghazali itu disambung semula hari ini dengan keterangan daripada saksi yang berkata beberapa pihak menerima ribuan hingga jutaan ringgit dari akaun Ambank yang dikaitkan dengan Najib.
Jumaat lalu, saksi kelima, Badrul Hisham Mohamad yang merupakan pengurus pusat pelulusan cek Ambank, memberi keterangan bahawa 17 cek AmIslamic yang diluluskan pada 2015 termasuklah RM1 juta kepada Upko, RM1 juta kepada unit komunikasi Umno Pulau Pinang, RM300,000 kepada Umno Johor Bahru, dan RM50,000 kepada Ketua Umno Padang Serai Asmadi Abu Talib.
Badrul Hisham mengesahkan perkara itu selepas dikemukakan cek berkenaan, yang merupakan antara dokumen yang disita dalam serbuan pegawai Bank Negara ke atas Ambank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.
Pendakwaan juga mungkin akan memanggil saksi lain yang dikaitkan dengan pihak lain yang mempunyai kaitan dengan transaksi cek berkenaan seperti Vital Spire Sdn Bhd, Zulqarnain & Co, Centre for Strategic Engagement, Lim Soon Peng, Solar Shine Sdn Bhd, dan law firm Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Sementara itu, semalam, mahkamah tidak membuat sebarang keputusan berhubung penularan klip video prosiding yang dimuat naik bekas pegawai Najib, Isham Abdul Jalil.
Klip video itu memaparkan pemilik ABS Trend Master Sdn Bhd owner Zulkarnain (nama kelurga tidak disebut oleh pendakwaan) dan pemilik MOZ Malaysia Sdn Bhd Mohammad Zakariyya Zearat Khan yang memberi keterangan berhubung penglibatan mereka dalam membina pondok pengawal dan tangki air di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta.
Zulkarnain dan Zakariyya merupakan saksi keenam dan ketujuh.
Dalam keterangannya, Badrul Hisham menyebutkan ABS Trend Master dan MOZ Malaysia masing-masing sebagai penerima cek RM100,000 dan RM56,000.
Isham mempertahankan tindakannya memuat naik klip video berkenaan dengan berkata bahawa mahkamah hanya melarang siaran langsung prosiding atau membuat rakaman peribadi. Jelas Isham, klip video berkenaan adalah dari sistem rakaman dan transkrip (CRT) mahkamah.
Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Malaysiakini
0 Comments