Ketuanya, Ahmad Faisal Mohd Puait berkata, mereka mungkin alergi dengan perkataan Melayu dan bumiputera kerana bimbang dituduh sebagai rasis atau fanatik perkauman.
“Benak fikiran pemimpin Melayu Islam dalam kerajaan Pakatan Harapan hanyut dengan tema ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang senarionya cenderung mempertahankan bukan Melayu Islam bagi menunjukkan sifat rahmah mereka.
“Sepatutnya mereka bertindak tegas mempertahankan keputusan Kabinet dan merasionalisasi pandangan awam secara ilmiah. Bukan berdiam diri dan memilih isu-isu yang memberi keuntungan peribadi sahaja sekalipun kaum ‘itu’ memberikan banyak undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faisal berkata, keadilan dalam Islam bererti memberi hak kepada yang berhak dan bukannya diukur dengan nilai kesamarataan semata-mata.
Menurut beliau, Pas melalui budaya politik matang dan sejahtera, justeru ingin menegaskan bahawa pihaknya menyokong atas dasar prinsip yang menguntungkan rakyat dan bukannya bersandarkan batang tubuh mahupun politik kepartian.
“Oleh itu, Dewan Pemuda Pas Perak mendesak agar semua tokoh berpengaruh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kemasyarakatan serta pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan Pakatan Harapan khususnya untuk bersikap berani dan tegas menyatakan pendirian mempertahankan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik,” katanya
Utusan
0 Comments