Najib Cabar "Menteri Hal Ehwal Najib" Berdebat Termasuk Isu 1MDB

Najib Razak berkata beliau sedia mengadakan “apa saja” perdebatan gaya bebas dengan pengkritik terkuatnya, Lim Kit Siang, selepas pemimpin kanan DAP itu menyerangnya secara terbuka, baru-baru ini.

Dalam temu bual dengan FMT di pejabatnya, bekas perdana menteri itu berkata:
“Saya dah jawab tiap kali Kit Siang membuat kenyataan, sehingga ada dalam posting saya, saya bagi dia gelaran ‘Menteri Hal Ehwal Najib’. Jadi, saya fikir lebih elok kita ada debat dengan Kit Siang.”

Najib sering berkata Lim “obsesi” dengannya, bagaimanapun “saya bersedia untuk berdebat dengannya mengenai isu tertentu supaya kita boleh ketengahkan pendirian kita dalam isu-isu tertentu supaya rakyat boleh menilai.”

Najib berkata Lim senyap beberapa bulan selepas beliau digelar “Menteri Hal Ehwal Najib”.

Dalam serangan terbarunya terhadap Najib, bekas ahli politik veteran DAP itu mendakwa frasa Najib, “Malu Apa Bossku” melanggar Rukunegara kerana cuba menghalang reformasi kerajaan Pakatan Harapan.

“Pada hakikatnya, kempen ‘Malu Apa Bossku’ melanggar prinsip ke-5 Rukunegara dan ‘Moraliti dan Tingkah Laku Baik’, satu cabaran kepada Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 dan halangan kepada misi kebangsaan untuk mengubah Malaysia daripada kleptokrasi global kepada negara berintegriti,” kata Lim.

Najib berkata frasa “Malu Apa Bossku” sebenarnya bukan kempen seperti yang sering digambarkan. Ayat itu dicipta oleh golongan belia.

“Mereka sendiri yang buat ayat, mereka sendiri design t-shirt, mereka sendiri buat grafik. Jadi ini suatu yang terbit dari hati nurani orang muda sendiri,” kata bekas pemimpin itu.

“Kalau orang muda rasa sampai masa mereka tidak suka, jadi tak ada lagi, tapi setakat ini Alhamdulilah sambutan ‘Bossku’ ini boleh dikatakan di luar jangkaan sama sekali.

“Tapi saya selalu tekankan apabila orang sebut ‘Bossku’, bukan saya bos tapi rakyat. Rakyat adalah bos.”

Ketika ditanya bila beliau akan berdebat dengan Lim, Najib berkata beliau bersedia pada bila-bila masa. Tetapi beliau berharap Lim memahami jadualnya yang terhalang oleh kes mahkamah yang berterusan.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak mahu saya terlalu lapang. Tetapi saya akan meluangkan masa untuk Kit Siang jika dia sedia berdebat.

“Ia boleh jadi perdebatan gaya bebas untuk bercakap. Dia boleh bertanya apa-apa pada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa padanya. Dalam semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran.”

Katanya, beliau yakin Lim boleh meluangkan masa untuk berdebat kerana beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet.

“Sekiranya dia cukup lapang untuk menulis pelbagai kenyataan setiap hari, dia sepatutnya lapang untuk berdebat.”

FMT

Post a Comment

0 Comments