Saman Sita Aset Rosmah - Tukang Emas Lubnan Mohon Campur Tangan - BANkami Blog

Home Top Ad

Tuesday, May 21, 2019

Saman Sita Aset Rosmah - Tukang Emas Lubnan Mohon Campur Tangan

Tukang emas Lubnan memohon campur tangan dalam saman sita kerajaan Malaysia terhadap barangan berharga yang dirampas dari rumah isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.

Peguam tukang emas itu, David Gurupatham memberitahu The Malaysian Insight bahawa permohonan itu akan dibuat semasa pengurusan kes pada 24 Mei di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Kami sudah menulis kepada Pejabat Peguam Negara untuk meminta butiran mengenai saman itu.
“Sebaik sahaja kami mempunyai butiran saman, kami akan campur tangan untuk mengesahkan sama ada 44 barang kemas itu termasuk di dalamnya.
“Sekiranya mana-mana bahagian daripada 44 barang kemas itu ada, kami akan memohon untuk campur tangan bagi mendapatkannya kembali kerana pelanggan kami adalah pemilik sah bagi barangan yang dirampas," katanya dipetik sebagai berkata.

Jun tahun lalu, Global Royalty Trading yang berpangkalan di Beirut, memfaikan saman terhadap Rosmah kerana didakwa gagal membayar barang kemas bernilai AS$14.79 juta (kira-kira RM60 juta) dan menuntut ia dipulangkan.

Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, ia telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu berkata semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No 926 berkaitan barang kemas tersebut.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai 2018 menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut.

Menurut David, sekiranya ada barangan kemas itu tidak berada dalam simpanan polis selepas rampasan, Global Royalty akan mendapatkannya semula atau diberi pampasan penuh melalui saman sivil terhadap Rosmah.

Nov tahun lalu, pegawai kerajaan memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan masa untuk mengesahkan sama ada barang kemas Global Royalty turut termasuk dalam barangan yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib dan Rosmah.

Di bawah peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, polis hanya boleh menyita barang itu dan menyimpannya selama 12 bulan.

Ini bererti, polis perlu mengesahkan barangan kemas itu dalam bulan ini dan mengambil langkah seterusnya sebelum menyerahkan semula kepada individu yang dirampas.

Malaysiakini

No comments:

Post a Comment