Gara-gara leka dengan telefon bimbit sehingga terlupa menggosok baju suami, seorang wanita diugut sembelih di kediaman mereka di Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi semasa suspek, 44, sedang bersiap untuk ke pejabat sebelum mendapati baju yang hendak dipakainya masih tidak bergosok.
Menurut sumber, suspek yang sudah lewat untuk ke tempat kerja terus mengamuk dan memarahi isterinya, 38, sebelum bertindak mengambil telefon bimbit milik mangsa yang ditinggalkan di dalam bilik.
Jelas sumber, mangsa cuba 'menyelamatkan' telefonnya dengan memujuk suspek agar pulangkan semula kepadanya tetapi pujukan itu dibalas kata-kata makian.
"Bukan sahaja dimaki hamun, tetapi leher mangsa juga dicekik selain pipinya ditampar dengan kuat oleh suspek tanpa belas simpati.
"Bagaimanapun mangsa bernasib baik kerana perbuatan suaminya dihalang dan dileraikan oleh anak sulung mereka yang kebetulan berada di rumah," katanya ketika dihubungi.
Sumber berkata, kira-kira jam 9 malam hari yang sama ketika mangsa sedang berehat di rumah, dia dikejutkan dengan kepulangan suspek dalam keadaan marah-marah.
"Suspek menuduh mangsa menjaja masalah rumahtangga mereka kepada orang lain.
"Suspek kemudiannya mengambil sebilah parang panjang dan menghala senjata itu ke leher mangsa sambil mengugut akan menyembelih mangsa suatu hari nanti," katanya.
Kata sumber lagi, perbuatan suspek itu turut dilihat oleh anak sulung mereka sebelum bertindak menegur sikap ayahnya (suspek) kerana mengasari ibunya (mangsa).
"Bengang anak lelakinya masuk campur, suspek bertindak mengejar remaja itu dengan parang, namun anaknya berjaya melarikan diri.
"Bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga lain, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
SH
0 Comments