Terdesak Dapatkan Air Bersih Di Negeri Serambi Mekah

Dek kerana terdesak mahu mendapatkan bekalan air bersih – sebahagian penduduk Kelantan sanggup berbuat apa sahaja.

Sejak berpuluh tahun tidak menikmati bekalan air bersih mereka tidak ada pilihan lain selain mencari alternatif mendapatkan bekalan asas itu.

Rata-rata mereka sudah bosan dengan air keruh yang kadangkala tak ubah macam ‘teh o’ dan kadangkala ‘teh tarik’ itu.

Itu masalah yang sekian lama membelenggu penduduk di negeri yang dikenali sebagai ‘Serambi Mekah’ itu.

Baru-baru ini, penduduk Kampung Gertak Kankong di sini terpaksa bergotong-royong hampir sebulan semata-mata mahu membina empangan kecil atau bahasa tempatannya ‘air tandak’ di kawasan mereka.

Malah ada antara mereka sanggup meninggalkan kerja-kerja hakiki kerana mahu mahu memastikan air tandak itu disiapkan dan menikmati air lebih bersih bagi menyambut Syawal.

Walaupun terpaksa menghadapi cabaran seperti berjalan sehingga tujuh kilometer sambil membawa barang-barang binaan serta peralatan lain dengan keadaan jalan yang merbahaya kerana ada kesan kerja-kerja pembalakan namun itu bukan menjadi penghalang.

Malah hujan lebat sehingga tiga kali air tandak yang hampir siap itu hampir pecah namun mereka masih enggan menyerah.

Nasib baik penduduk ini mendapat inisiatif berbentuk dana berjumlah RM70,000 daripada Mercy Malaysia melalui Maybank Islamic bagi membina air tandak tersebut.

Apa yang  menariknya, semangat gotong royong penduduk membina air tandak menyebabkan Mercy Malaysia dapat menjimatkan hampir RM40,000 dan lebihan itu dapat digunakan bagi projek kemanusian lain.

Jika tidak, NGO itu memerlukan kos sekitar RM100,000 seandainya terpaksa membawa masuk pekerja mahir dari luar dan pelbagai kos lain termasuk pengangkutan dan lain-lain.

Menurut penduduk yang mengetuai gotong royong, Mazlan Mustapa pihaknya terpaksa melalui cabaran getir dalam proses membina tandak air tersebut.

“Memang bukan senang, hampir 90 buah rumah dengan lebih 100 orang penduduk terpaksa sepakat apatah lagi kita mendapat bantuan kewangan daripada Mercy Malaysia dan Maybank Islamic. Memang cukup bersyukur dan kami tidak mahu lepaskan peluang ini.
“Sudah lama mengidam untuk ada air bersih dan berkualiti apabila berpeluang dan kami sendiri dipertanggungjawabkan, pastinya kami sangat teruja walaupun ada cabarannya.
“Cabaran seperti kewangan pada awalnya, kebanyakan penduduk kita rata-ratanya kerja bertani, menoreh getah dan sebagainya. Kita  terpaksa kerah semuanya untuk sama-sama bina tandak air ini. Memang payah lagi semua kena berkorban sedikit sebanyak.
“Ini bukan satu kerja mudah tapi bila fikir tentang apa yang telah kita lalui selama ini semata-mata mahu dapatkan kualiti air lebih dari untuk sekian, kita korbankan sahaja.
“Air tandak ini adalah sumber utama penting,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi seorang lagi penduduk, Mohd. Nor Hafiz Mohd Nordin mengakui rata-rata daripada mereka yang mahir dalam kerja-kerja membina empangan air tandak namun belajar daripada pakar.

“Sudah tentu ada pihak berwajib membantu kami. Cabaran kami sebenarnya bukan bina empangan itu tapi lebih kepada memanjat naik bukit yang kadang-kadang apabila hujan ia licin. Bayangkan kami panjat tiap hari bermula awal pagi sehingga ke senja.

“Angkut barang-barang. Penat memang tidak perlu cakaplah tapi kerana kami yang bantu bina tandak air ini, maka rasa tanggungjawab dan semangat kepunyaan ini sangat tinggi dalam diri kami.

“Sejak raya ini, kita sudah mula menikmati kualiti air lebih baik dari dulu dan rasa gembira yang amat sangat,” ujarnya.

Sementara itu ketika bercakap dengan Sukarelawan Mercy, Yusof Hashim, pihaknya  lega apabila penduduk kampung sendiri tampil  mahu membinanya sendiri.

“Memang sebenarnya mereka telah kurangkan kos kita sehingga hampir 40 peratus yang kita boleh gunakan untuk projek lain.

“Kita juga kini dalam proses naik taraf tandak air ini, proses ‘naturalise’ ketika ini selain daripada beberapa projek lain selain bergerak ke Gua Musang, masih dalam perancangan,” terangnya.

MG

Post a Comment

1 Comments

  1. Kerajaan lebai buat apa? Ada hati lg nak perintah malaysia.....Moga Allah selamatkan kita

    ReplyDelete