Dua kad kredit bekas perdana menteri Najib Razak digunakan untuk perbelanjaan lebih RM3.2 juta dalam masa enam bulan, iaitu antara Ogos 2014 hingga Januari 2015.
Naib Presiden AmBank Yeoh Eng Leong, yang bertugas dalam bahagian penipuan perbankan runcit, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh DPP Budiman Lutfi Mohamed.
Saksi ke-47 itu mendedahkan perkara itu melalui penyata Mac 2011 hingga April 2015 bagi kad Mastercard Platinum dan Visa Platinum yang didaftar menggunakan nama Najib.
Yeoh secara teliti menyatakan Mastercard Platinum digunakan untuk lapan transaksi berjumlah lebih RM2.86 juta di sebuah kedai di Italy bernama De Grisogono pada 8 Ogos 2014.
De Grisogono adalah jenama jam tangan mewah dan berlian Switzerland dengan rangkaian di pelbagai negara.
Yeoh berkata, kad sama turut digunakan untuk penginapan di Shangri-La Hotel di Bangkok, Thailand, dengan jumlah RM127,017.46.
Katanya pada 22 Disember 2014, kad Visa Platinum digunakan antara lain untuk membelanjakan RM466,330.11 di sebuah kedai jenama Chanel di Honolulu, Hawaii.
Dia juga berkata hutang kad kredit dibayar dengan wang yang dipindah daripada akaun AmBank dengan nombor berakhir 880.
Terdahulu, mahkamah diberitahu akaun itu didaftarkan di bawah nama Najib.
MK
0 Comments