Menurut anggota parlimen Ayer Hitam setiap pemberian yang disampaikan kepada ketua kerajaan memerlukan penelitian.
Apa yang mahu diberikan kepada ketua kerajaan perlu dipastikan wajar. Jika ia satu dokumen, baca setiap patah perkataan, satu demi satu. Ini sangat memalukan dan PMO (Pejabat Perdana Menteri) mengeluarkan kenyataan, ini cuma menunjukkan mereka tidak tahu, katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Wee turut mempertikaikan bagaimana komik itu boleh diberikan kepada presiden China tanpa pengetahuan PMO.
Pertama, ia melangkaui semua protokol dan prosedur operasi standard (SOP) dan (Kementerian Luar) Wisma Putra sepatutnya membuat pemeriksaan, jika tidak pun penapisan.
Pada 18 Oktober lalu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan komik berkenaan disampaikan kepada Xi bukanlah hadiah rasmi dan diberikan tanpa mengikut prosedur sepatutnya.
Kenyataan itu juga menjelaskan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak terlibat dalam penerbitan komik berkenaan.
"Beliau (Dr Mahathir) juga tidak pernah memberi persetujuan agar gambar beliau diguna pakai untuk apa-apa tujuan atau memberi kebenaran agar komik tersebut diedarkan di sekolah," jelas kenyataan itu.
Dr Mahathir hari ini berkata peranan Malaysia bukannya mempromosikan ideologi China, tetapi meneliti apakah manfaatnya yang mampu diraih negara.
Komik itu terbitan Muzium Kebudayaan dan Komik Asia di Pulau Pinang itu nukilan Hew Kuan Yau, dengan pelukis tempatan Chong Po Ling.
Hew bagaimanapun menafikan komik itu merupakan propaganda komunis dan DAP sambil mengatakan bahawa perdana menteri sendiri menyerahkan komik tersebut kepada presiden Xi Jinping, April lalu.
Hew Kuan Yau mula dikenali dengan kelantangannya di pentas-pentas ceramah DAP tetapi telah keluar parti itu pada 2016. Beliau dilantik menjadi ketua pegawai ekskutif Majlis Perniagaan Bersama China-Malaysia (JBC) awal tahun ini.
Komik itu menjadi perhatian selepas bekas perdana menteri, Najib Razak, baru-baru ini mendakwa ada pihak menyebarkan propaganda DAP dan komunis di sekolah-sekolah.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah menafikan kementeriannya pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya, dan memberi arahan agar buku itu diedarkan di sekolah.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penerbitan dan pengedaran komik itu, manakala polis juga mengesahkan telah mengambil keterangan pelukisnya.
Antara kandungan komik itu yang mengundang perasaan tidak puas hati ialah umat Islam yang bersimpati dengan nasib umat Islam Uighur di China sebagai radikal.
Semalam, Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata komik tersebut tidak mencerminkan pendirian DAP.
Malaysiakini
0 Comments