Hakim Mahkamah Sesyen dan timbalan pendakwa raya didakwa hari ini atas tuduhan menerima rasuah sebagai upah kerana hanya mendenda pendatang tanpa izin yang ditahan pihak berkuasa.

Hakim Azmil Muntapha Abas, 44, dan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Peguam Noor Amirul Nazreen turut didakwa secara bersama dengan kedua-dua tertuduh.

Ketiga-tiga mereka didakwa menerima RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong sebagai upah untuk mendenda tujuh pendatang tanpa izin pada 17 Julai di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu.

Hakim Rozillah Salleh menetapkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor.

Azmil juga minta dibicarakan secara berasingan bagi tuduhan menerima RM5,000 untuk hanya mendenda enam orang yang didakwa membeli tiket loteri.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Subseksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 pada 10 Mei 2018.

Rozillah menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Dis untuk sebutan bagi kedua-dua kes berkenaan.

FreeMalaysiaToday