Dari Tempat ke 26 Jadi Tempat Ke 3 - Malaysia Negara Paling Aman Di Asia Tenggara


Malaysia kini berada di tangga ke-16 negara paling aman di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2019, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata laporan GPI itu turut mengiktiraf Malaysia sebagai negara ketiga paling aman di Asia Tenggara selepas Jepun dan Singapura.

Laporan GPI ini adalah penting dan perlu diketengahkan kerana ia akan menarik perhatian terutama pelabur dan pelancong asing untuk datang. Sekarang, kita berada di kedudukan yang baik berbanding tangga ke-26 pada 2018 dan ia (sesuatu) yang boleh dibanggakan. Kita berharap ia akan berterusan seperti ini pada masa akan datang.

Pada masa sama, Mohamad berkata kementerian itu juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan soal keselamatan di Sabah dan Sarawak bagi mengekang ancaman anasir luar dan pencerobohan termasuk penculikan yang kerap berlaku di sana.

Menurutnya, keselamatan di Sabah dan Sarawak adalah terkawal dengan pelaksanaan pengoperasian daripada ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Kami sentiasa bertanya kedudukan keselamatan selain bagaimana ia perlu diperlengkapkan dengan peralatan terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pusat Bantuan Operasi Udara di Tawau bagi memastikan kepentingan keselamatan di Sabah dan Sarawak sentiasa terjamin.

"Malah, ATM juga masih mengekalkan komitmen dan peranannya bersama ESSCOM dengan memperkukuhkan kawalan keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE)," katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan Indonesia dan Filipina turut diperkukuh bagi membanteras permasalahan itu.

"Bahkan, hubungan erat itu menyebabkan berlaku sedikit kekurangan jenayah di kawasan yang dianggap 'panas' selama ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad menyifatkan tahun 2020 adalah sebagai tahun persediaan dalam menghadapi permulaan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang merupakan rangka hala tuju industri pertahanan dan keselamatan negara dalam menangani ancaman yang semakin mencabar dan canggih.

"KPP akan menjadi panduan kepada pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang. Ia adalah dokumen terbuka yang dibangunkan bagi melibatkan rakyat dan pihak berkepentingan di dalam isu pertahanan negara," katanya.

KPP, yang menggariskan dua peranan ATM melibatkan peranan utama dan sekunder, dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Dis lepas.

Astro Awani

Post a Comment

0 Comments