Daripada Maszle Kepada Mahathir - Isu Sebenar Jawi, Katanya 10 Kali Dah Bagitau


Sejak dua hari lepas saya sudah berkali-kali diminta oleh media untuk memberikan maklum balas terhadap pandangan Tun berhubung dengan isu Jawi.

Pandangan tersebut telah diutarakan oleh Tun dalam Wawancara Ekslusif Sinar Harian. Saya tonton di sini:

https://www.youtube.com/watch?v=puw_sGF5Acs&t=1s

Termasuk kali ini, saya rasa sudah lebih 10 kali saya memberikan penjelasakan berkenaan isu Jawi.

Kepada Tun sendiri, dalam Kabinet, dalam mesyuarat MPT, dalam siri-siri perbincangan saya dengan pemegang-pemegang taruh, juga dengan semua pihak.

Namun, saya dapati masih terdapat salah faham dan fakta terhadap isu ini yang juga boleh mengelirukan ramai orang.

Maafkan saya, Tun, izinkan saya menjelaskan letak duduk isu ini. Saya harap orang ramai boleh adili sebaiknya.

Di dalam wawancara tersebut, Tun mengatakan:

“Tulisan jawi ni, dulu kita tak minta MCA terima pun. Kita tak bangkit perkara itu. Tapi bila Pakatan Harapan memerintah, Menteri Pelajaran (saya) nak suruh orang Cina belajar tulis khat.”

Tun, perancangan pengenalan tulisan khat ini dimulakan pada 2014 lagi, melalui semakan semula Kurikulum Sekolah Rendah (KSSR). Waktu itu juga telah diadakan sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa.

Pada waktu itu, semakan semula KSSR tersebut telah diluluskan dalam Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan pada 5 Februari 2015.

Namun sebelum semakan semula KSSR ini pun, pada tahun 2015 juga, KPM telah perkenalkan tulisan khat ini kepada pelajar Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dalam buku teks Bahasa Melayu cetakan 2015.

Sekali lagi, saya ulang, tahun 2015 dan buku teks Bahasa Melayu cetakan 2015.

Hal ini boleh dirujuk dalam muka surat 85 hingga 88, Tema 6, Menghargai Budaya Bangsa, Unit 17 Seni Tulisan.

Waktu itu Tun, BERSATU pun masih belum ditubuhkan. Saya cuma seorang pensyarah biasa. Saya tiada kena mengena dengan pembentukan KSSR dan semakan semula terhadapnya.

Justeru adalah salah untuk mengatakan Pakatan Harapan atau saya yang menyuruh orang Cina belajar tulisan khat (jawi). Salah untuk mengatakan “kita tak minta MCA terima pun.”

MCA terima. Tak ada bantahan. Dong Zong pun tidak nyatakan bantahan. SEKAT pun tidak wujud lagi pada waktu itu, Tun.

Tun, izinkan saya meneruskan. Tun mengatakan lagi:

“Khat berkenaan dengan agama, banyak kaitan dengan agama. Kita tulis Allah, kita tulis Muhammad. Lepas tu kita suruh diorang tulis jawi. Apa perlunya kita suruh dia tulis jawi. Jadi kita timbulkan masalah di mana tidak ada masalah. 

Kemudian Tun sambung lagi, “Lepas tu bila dia tak bersetuju, ha, kita kata dia tak bersetuju. Benda tu bukan masalah. Dulu selama 60 tahun kita memerintah, kita tak pernah dengar MCA tolak jawi. Pasal kita tak suruh dia belajar jawi. Ni tiba-tiba kita suruh dia (belajar).”

Tun, seperti yang telah saya bentangkan di dalam kabinet Pakatan Harapan dan seperti yang telah kabinet putuskan, tulisan jawi yang diperkenalkan tidak ada kaitan dengan agama dan hanya tiga muka surat.

Tiga muka surat tersebut boleh dirujuk di sini: https://www.malaysiakini.com/news/503727

Secara ringkasnya, anak-anak Malaysia kita akan belajar cara menulis perkataan “Malaysia”, “Ringgit Malaysia”, “Bank Negara Malaysia” dan “Bersekutu Bertambah Mutu” dalam tulisan jawi, tulisan warisan kita. Itu sahaja.

Tambahan pula, pembelajaran ini tidak akan diuji di dalam peperiksaan.

Ingin saya tegaskan di sini Tun, saya tidak pilih untuk berhadapan dengan isu-isu ini.

Namun sebagai Menteri Pendidikan pada waktu itu, saya perlu menggalas tanggungjawab dengan menangani isu ini, dan menghormati keputusan yang telah disepakati oleh KPM sekian lama.

Apa yang saya berikan tumpuan ialah “reform” pendidikan yang memang sudah berjalan.

Malah ketika saya meletakkan jawatan sebagai menteri sekalipun, Jawatankuasa Kajian Dasar hampir memuktamadkan syor untuk mengubah sistem pendidikan negara kita secara total.

Mereka telah dipilih berdasarkan kepakarakan masing-masing. Mereka telah mengumpulkan puluhan ribu pandangan orang ramai, mereka berbengkel berbulan-bulan lamanya untuk memuktamadkan syor yang terbaik.

Jika diizinkan, segala syor mereka boleh mula dilaksanakan sekurang-kurangnya bermula hujung tahun ini.

Itulah fokus paling utama saya, selain meringankan beban guru, meningkatkan akses pendidikan kepada OKU dan B40, STEM, kebebasan akdemik, kualiti pendidikan peringkat sekolah dan peringkat tinggi, kerjasama pendidikan dengan industri, dan juga menyelesaikan masalah sekolah daif terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Saya harap dengan penjelasan ini, salah faham yang wujud boleh diperbetulkan. Saya bersedia menjelaskan lagi jika perlu.

Sudah sampai masanya, Tun, untuk kita mendengar penjelasan dari orang yang tepat, bukan hanya dari orang-orang yang terdekat dengan kita sahaja.

Akhir sekali, Tun, saya minta maaf atas salah dan silap. Saya hormati Tun sebagai seorang negarawan ulung. Sumbangan Tun pada negara tak terbalas dengan apapun.

Saya doakan Tun dikurniakan kesihatan dan keberkatan hidup. Terima kasih, Tun.

Yang benar,

Post a Comment

0 Comments