Sebaliknya, titah baginda yang mengikuti rapat kemelut politik negara PN telah dibentuk bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Jelas baginda, Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan dengan teliti berdasarkan perlembagaan selepas rundingan dilakukan.
Beta sendiri telah mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang telah dilaksanakan oleh seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati dan selepas perundingan yang teliti dan terbuka diadakan, selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan .
Tohmahan berkaitan pembentukan kerajaan Persekutuan ini sebagai sebuah kerajaan pintu belakang ataupun satu rampasan kuasa adalah tidak bertepatan sama sekali.
...Dan ia hendaklah segera dihentikan kerana Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang, titah baginda.
Baginda bertitah pada istiadat pembukaan persidangan penggal ke-13 Dewan Negeri Selangor ke-14, 2020 di Shah Alam, hari ini.
1 Mac lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri Malaysia kelapan bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
Ia susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong berkenan memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.
Kemelut politik negara tercetus apabila Bersatu mengumumkan keluar PH pada 24 Feb lalu dan disusuli dengan keputusan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin lain bersama 10 anggota Parlimen PKR lain bertindak keluar parti.
Keputusan itu menyaksikan Mahathir turut melepaskan jawatan sebagai perdana menteri sekaligus menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.
PN kemudian membentuk kerajaan dengan sokongan Bersatu, Umno, PAS dan Bebas.
Dalam pada itu Sultan Selangor turut bertitah supaya kerajaan negeri Selangor menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan pusat meskipun berbeza ideologi politik.
Titahnya lagi, baginda tidak mahu perbezaan tampuk pemerintahan dan ideologi politik akan menyebabkan rakyat Selangor terpinggir di dalam arus pembangunan ekonomi dan sosial.
"Beta sedar, dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, institusi raja tidak sepatutnya dilihat terlibat secara langsung dengan isu-isu yang berkaitan dengan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik 'above politics'.
"Namun demikian, sebagai Sultan di negeri beta, beta bertanggungjawab untuk menasihati ahli-ahli yang behormat sekalian agar tidak melakukan sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan rakyat beta," katanya.
Pada akhir titahnya, Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan kepada angkatan tentera, pihak polis, Bomba serta anggita keselamatan yang telah menjalankan tugas bagi kemakmuran rakyat dan negeri itu.
Malaysiakini
0 Comments