Semua Masjid & Surau Negeri Sembilan Ditutup Selama 10 Hari

Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus hari ini mengisytiharkan penutupan kesemua masjid dan surau di negeri ini bagi tempoh 10 hari bermula esok.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu membabitkan kesemua aktiviti agama termasuklah membatalkan solat jemaah dan solat Jumaat.

Langkah penutupan masjid secara sementara itu bertujuan mencegah kluster jangkitan lebih besar susulan penularan COVID-19 melibatkan sebahagian kumpulan tabligh baru-baru ini.

Kepututsan dibuat berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang, semalam.

Berdasarkan kepada situasi terkini wabak COVID-19 yang semakin kritikal susulan gelombang kedua penularan selepas penemuan positif dalam kalangan 16,000 jemaah yang menghadiri program di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur baru-baru ini, Muzakarah berpandangan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat jemaah dan solat Jumaat ditangguhkan untuk 10 hari bermula 17 Mac sehingga 26 Mac.

Dalam tempoh tersebut, semua masjid dan surau dinasihatkan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan

Persidangan itu turut membuat keputusan sekiranya berlaku kematian akibat virus COVID-19, jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum.

Prosedur tayammum itu boleh dilakukan hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut sahaja.

Pelanjutan atau penamatan tempoh 10 hari berkenaan tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan.


Post a Comment

0 Comments